KUALA LUMPUR – Pembangunan sistem ePerolehan Baharu tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan memandangkan sistem lewat disiapkan selama tiga tahun sejak 2018, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1.
Menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kos tambahan berjumlah RM28.27 juta telah dibayar kepada kontraktor manakala ganti rugi kelewatan (LAD) berjumlah RM16.30 juta dan Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) berjumlah RM34,870 lewat dikenakan terhadap kontraktor.
Selain itu, katanya terdapat beberapa kelemahan sistem dari segi kawalan aplikasi yang tidak selaras dengan peraturan yang ditetapkan.
Sistem ePerolehan Baharu dibangunkan sebagai transformasi kepada sistem Perolehan sedia ada. Semua urusan perolehan bekalan dan perkhidmatan bukan perunding Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan melalui sistem ePerolehan Baharu mulai tahun 2018.
Menurut laporan itu, perolehan pembangunan sistem ePerolehan Baharu adalah tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan iaitu tiada pengecualian Makmal Pengurusan Nilai (VM Lab) oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan kelulusan Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) di peringkat Kementerian Kewangan (MoF).
Berdasarkan maklum balas MoF yang diterima pada 25 Februari dan 6 Julai 2020, surat LAD berjumlah RM16.30 juta telah dikeluarkan kepada kontraktor pada 25 Jun 2020 selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Perolehan pada 22 Jun 2020.
Bagaimanapun, menurut LKAN, sistem ePerolehan Baharu telah memberi manfaat kepada Perkhidmatan Awam berikutan proses perolehan yang tidak terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 akibat pandemik COVID-19.
Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan, pihak Audit mengesyorkan tindakan seperti sub modul Jejak Audit dan Laporan perlu disiapkan segera dan diberi keutamaan dalam Fasa Operasi.
“Selain itu, sistem ePerolehan Baharu boleh ditambah baik dengan menambah fungsi sekatan terhadap perolehan yang tidak mengikut prosedur kewangan,” katanya.
Katanya klausa yang ditetapkan dalam dokumen kontrak berkenaan LAD dan SLA juga hendaklah dikuatkuasakan terhadap kontraktor untuk mengelak kelewatan.
“MoF juga perlu mendapatkan kelulusan daripada UPE bagi pengecualian VM Lab dan kelulusan JPICT di peringkat MoF untuk melaksanakan sistem ePerolehan Baharu melalui kaedah Outsourcing of Services,” katanya.- BERNAMA