Home Ekonomi Sektor hartanah kekal lemah tahun ini

Sektor hartanah kekal lemah tahun ini

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), prestasi pasaran hartanah mencatat penurunan mendadak pada separuh pertama (1H) 2020, selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020 berbanding 0.7 peratus pada suku pertama 2020.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Prestasi pasaran hartanah kekal lemah tahun ini.

Situasi ini terus dialami meskipun terdapatnya keyakinan terhadap pemulihan ekonomi negara yang akan berlaku secara beransur-ansur seperti diunjurkan dengan pengoperasian semula kegiatan pasaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan langkah-langkah yang dicadangkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Rentak pemulihan ini bagaimanapun bergantung kepada faktor-faktor domestik dan luaran seperti kestabilan politik, harga minyak dan komoditi global, serta perkembangan selanjutnya yang berkaitan dengan pandemik COVID-19.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), prestasi pasaran hartanah mencatat penurunan mendadak pada separuh pertama (1H) 2020, selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020 berbanding 0.7 peratus pada suku pertama 2020.

Bagaimanapun, Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) Malaysia pada suku ketiga 2020 menyusut pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 2.7 peratus daripada penurunan dua digit 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Untuk enam bulan pertama 2020, sektor hartanah mencatat 115,476 transaksi bernilai RM46.94 bilion, turun 27.9 peratus dalam jumlah dan 31.5 peratus dalam nilai berbanding tempoh yang sama 2019, yang merekodkan 160,165 transaksi bernilai RM68.53 bilion.

Sementara pada suku ketiga 2020, NAPIC menyatakan jumlah urus niaga dan perubahan tahunan mencatatkan peningkatan dengan 89,245 unit daripada 83,085 unit pada suku ketiga 2019, masing-masing dengan 7.4 peratus daripada 5.5 peratus pada suku yang sama tahun lalu.

Ini didahului oleh subsektor perumahan, diikuti oleh pertanian, tanah pembangunan dan lain-lain, komersial dan perindustrian.

Nilai urus niaga atau transaksi secara keseluruhan untuk suku ketiga 2020, bagaimanapun, merosot kepada -2.4 peratus daripada 4.6 peratus tahun ke tahun dengan RM33.78 bilion daripada RM34.62 bilion sebelumnya.

Untuk menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan telah memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di bawah PENJANA, bertujuan menarik lebih ramai pembeli pertama kali ke pasaran pada separuh kedua 2020, kata peserta pasaran.

Langkah itu dikatakan akan memudahkan pembeli memasuki pasaran hartanah dan ini boleh mengurangkan lebihan penawaran hartanah yang tidak terjual di pasaran pada masa ini.

Di bawah HOC, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas instrumen pindahan dan perjanjian pinjaman untuk pembelian rumah kediaman berharga antara RM300,000 dan RM2.5 juta, tertakluk kepada pemaju yang memberikan potongan sekurang-kurangnya 10 peratus.

Pengecualian instrumen pindahan ini terhad kepada RM1 juta pertama daripada harga perumahan sementara pengecualian duti setem penuh diberikan kepada perjanjian pinjaman yang berkuat kuasa untuk perjanjian jual beli yang ditandatangani antara 1 Jun, 2020 dan 31 Mei, 2021.

Ringkasnya, ini akan memungkinkan pembayaran yang jauh lebih rendah atau bahkan tiada duti setem sama sekali untuk pembelian hartanah.

Selain itu, keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus pada September ketika ekonomi global terus pulih, ditambah dengan sokongan dasar yang mantap, turut menjadi daya tarikan untuk pencari rumah, kerana kadar faedah yang rendah akan memberikan penjimatan awal dalam kadar faedah.

Disokong oleh usaha-usaha ini, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) agak yakin dengan tinjauan masa depan sektor hartanah dan berharap menyaksikan peningkatan yang lebih baik pada separuh pertama 2021, dengan syarat tiada penularan komuniti baharu COVID-19 dalam negara.

Dalam perkembangan lain, pasaran hartanah telah mengalami pembetulan dari segi penetapan harga dengan lebih banyak perumahan mampu milik dilancarkan pada separuh pertama 2020.

Menurut pengarah NAPIC, Aina Edayu Ahmad, separuh daripada pelancaran baharu pada separuh pertama 2020 merangkumi rumah berharga RM300,000 dan ke bawah (6,657 unit), sementara rumah berharga antara RM300,001-RM500,000 menguasai 28.9 peratus (4,476 unit ) dan rumah berharga lebih dari RM500,000 menyumbang 21.1 peratus (2,161 unit).

Menurut NAPIC, pada suku ketiga 2020, pelancaran baharu dalam subsektor kediaman mencatat sejumlah 6,087 unit termasuk 2,960 unit hartanah bangunan tinggi dan 3,127 unit harta tanah.

Harga hartanah di bawah RM300,000 pada suku ketiga 2020 menguasai 50.5 peratus (3,073 unit), sementara harga antara RM300,001-RM500,000 sebanyak 24.7 peratus (1,505 unit), dan harga melebihi RM500,001 merangkumi 24.8 peratus (1,509 unit).

“Jadi, kita lihat pasaran sendiri melakukan pembetulannya. Pada tahun-tahun sebelum ini, kita telah melihat lebih banyak pelancaran baharu dalam julat yang lebih tinggi tetapi sekarang kita melihat lebih banyak pelancaran baharu dengan harga dalam lingkungan RM300,000 ke bawah,” katanya semasa Persidangan Hartanah Malaysia ke-13 yang berlangsung Oktober lepas.

Dari segi harga, beliau berkata hartanah berharga RM300,000 ke bawah dalam segmen kediaman masih memenuhi sebahagian besar permintaan pasaran, sebab itulah pemaju hartanah harus fokus untuk membina perumahan mampu milik dalam linkungan harga berkenaan.

Selain itu, memandangkan pasaran hartanah masih lagi bergelut dengan kesan pandemik COVID-19 pada suku ketiga 2020, harga pertanyaan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor telah menurun berdasarkan kepada Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia.

Laman web hartanah itu berkata secara keseluruhan harga pertanyaan hartanah di Malaysia turun 1.34 peratus pada suku ini; berbeza dengan kenaikan 0.38 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2020 dan peningkatan 0.63 peratus pada suku pertama 2020.

Dengan kata lain, untuk menyelesaikan masalah unit kediaman siap yang belum terjual dan memastikan pembangunan hartanah yang lebih teratur di negara ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang membangunkan Sistem Pangkalan Data Perumahan Bersepadu yang dijangka siap tahun depan.

Menteri Zuraida Kamaruddin juga disebut sebagai berkata kementerian itu telah mengusulkan “cukai pengosongan” diperkenalkan dan dikuatkuasakan tahun depan ke atas pemaju yang gagal menghabiskan stok kediaman tertunggak masing-masing.

Beliau berkata berdasarkan rekod NAPIC, sejumlah 31,661 rumah bernilai RM20.03 bilion tidak terjual pada suku pertama tahun ini berbanding 30,664 unit berjumlah RM18.82 bilion pada separuh kedua 2019.- BERNAMA