Home Utama Vaksin Covid-19: Kerajaan tunggu perkenan daripada YDPA

Vaksin Covid-19: Kerajaan tunggu perkenan daripada YDPA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias (kanan) pada Misi Bantuan Bencana Banjir Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 10 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA),  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja berhubung penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan muzakarah sudah ada, namun apa yang dilakukan mestilah mengikut tertib dan berhemah.

Katanya, sebarang keputusan yang diperoleh perlu dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Selepas mendapat perkenan dan persetujuan maka kita (kerajaan) akan menguar-uarkan kerana fatwa bukanlah satu perkara yang perlu disembunyikan.

“Kita hanya mengikut tertib, hasil keputusan Muzakarah sudah dihantar minggu lalu iaitu selepas mesyuarat Muzakarah. Maka prosesnya perlu dilihat dan apabila sudah diperoleh (perkenan), kita akan bincang untuk kemukakan jawapan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan kepada penghantar makanan, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Jumaat lalu, Zulkifli berkata, kerajaan akan mengeluarkan kenyataan berhubung fatwa vaksin Covid-19 tidak lama lagi selepas mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang sehari sebelum.

Ditanya jangkaan keputusan perkenan, Zulkifli  tidak dapat menjangkakan namun akan menunggu.

“Selepas menerimanya, kita aka uar-uarkan,” ujarnya.

Sementara itu, berhubung bantuan banjir sempena pelancaran bilik gerakan YADIM, Zulkifli membertahu, YADIM diharap dapat membuat permohonan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendapat bantuan tambahan sebanyak RM500, 000 bagi membantu mangsa dan asnaf yang terbabit dalam banjir itu.

“Selain itu, YADIM perlu berkolabrasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang arif dengan perkara berkaitan banjir bagi memastikan perancangan dalam menyampaikan bantuan berjalan lancar dan menyeluruh,” tambah beliau. – MalaysiaGazette