WASHINGTON – Kumpulan penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) bertemu pada Khamis dan mengesyorkan agensi itu mengeluarkan kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) kepada vaksin COVID-19 keluaran Pfizer dengan kerjasama syarikat Jerman, BioNTech, lapor Agensi Berita Xinhua.
Jawatankuasa Penasihat Vaksin dan Produk Biologi Berkaitan FDA, yang terdiri pakar sains dan kesihatan awam bebas dari seluruh negara, bertemu membincangkan permintaan pertama EUA untuk calon vaksin, yang dihantar oleh Pfizer dan BioNTech.
Menurut laporan media, jika ia diluluskan kumpulan pertama vaksin dapat diedarkan di negara ini dalam beberapa hari.
Pekerja penjagaan kesihatan dan penghuni rumah penjagaan akan menjadi antara yang pertama menerimanya, tambah laporan itu.- BERNAMA