Home Nasional Rancang perjalanan lebih awal – PLUS

Rancang perjalanan lebih awal – PLUS

Azman Ismail

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan semua pelanggan lebuh raya supaya dapat merancang perjalanan lebih awal menjelang cuti hujung minggu ini dan memastikan kad Touch ‘n Go dan e-Wallet mereka mempunyai baki yang mencukupi untuk mengurangkan gangguan dan keperluan interaksi fizikal di plaza tol.

Peringatan ini diberikan berikutan jangkaan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya susulan bermulanya pergerakan sejak perjalanan rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan seperti mana yang diumumkan Sabtu lalu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail memberi jaminan bahawa segala persediaan telah dilaksanakan bagi menerima lonjakan trafik di lebuh raya menjelang hujung minggu ini.

”PLUS mengambil pelbagai pendekatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan kami termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R).

”Saya memohon kerjasama semua pelanggan untuk menyokong usaha PLUS dengan mematuhi semua Prosedur Kesihatan dan Keselamatan sepanjang perjalanan mereka di lebuh raya dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri.

“Untuk memastikan penjarakan fizikal dapat dipatuhi, kami menasihatkan pelanggan supaya membuat pra-pesanan makanan dan minuman menerusi Aplikasi PLUS.

”Pemandu juga diingatkan supaya memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara pada ketika ini. Saya juga berharap agar semua pelanggan dapat mengambil langkah yang sepatutnya agar sentiasa kekal selamat dan kekal sihat,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 13,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara bagi membolehkan pelanggan lebuh raya menambah nilai kad lebih awal.

Bagi pelanggan yang menuju ke utara, PLUS menasihatkan agar mereka membuat tetapan tambah nilai e-Wallet secara automatik bagi menikmati pengalaman yang lebih positif menggunakan teknologi baharu tanpa sentuh secara RFID.

Kemudahan pembayaran tol menerusi RFID (program perintis) kini boleh dinikmati di laluan di Sungai Dua-Hutan Kampung dan di semua plaza tol sistem terbuka di seluruh negara.

PLUS juga menggalakkan pelanggan supaya memuat turun Aplikasi PLUS bagi memudahkan mereka merancang perjalanan di lebuh raya.

Aplikasi tersebut turut menyediakan paparan video CCTV lebuh raya dan butang kecemasan SOS bagi memudahkan pelanggan mendapatkan bantuan ketika kecemasan.

Ia turut dilengkapi Chatbot PUTRI yang berinteraksi secara digital bagi mengendalikan sebarang pertanyaan atau maklum balas pelanggan. – MalaysiaGazette