Home Nasional Siasat siapa di sebalik kartel import daging haram – NGO

Siasat siapa di sebalik kartel import daging haram – NGO

Presiden Gagasan Baharu Harapan Malaysia (GBNM), Mohd Zulfitri Mohd Basir bercakap sebelum menyerahkan memorandum mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat berhubung isu "kartel" daging import yang menggunakan logo Halal palsu di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap isu kartel daging import yang mempunyai sijil halal palsu.

Gudang penyimpanan daging tersebut dikatakan terletak di Senai, Johor telah diserbu oleh pihak berkuasa pada 1 Disember lalu.

Presiden Gagasan Baru Harapan Malaysia (GBHM), Mohd Zulfitri Mohd Basir berkata, isu ini masih belum dapat diselesaikan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

“Kami mahu SPRM siasat segera siapakah dalang sebenar di dalam kartel daging ini sehingga menyebabkan daging ini tersebar luas di seluruh Malaysia.

“Untuk maklumat semua NGO telah memulakan pelbagai pembongkaran tapi tidak ada satu pun tangkapan yang dibuat ke atas mereka yang terlibat,” katanya selepas menyerahkan memorandum desakan itu kepada SPRM di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Kebajikan Anak Bersatu Selangor (PKABS), Rahmadin Alimuddin.

Presiden Gagasan Baharu Harapan Malaysia (GBNM), Mohd Zulfitri Mohd Basir (tengah) hadir bagi menyerahkan memorandum mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat berhubung isu “kartel” daging import yang menggunakan logo Halal palsu di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2020.

Memorandum dua muka surat itu antara lain mendesak SPRM menyiasat siapa pemilik syarikat berkenaan, apakah jenama daging yang digunakan dan mendedahkan siapa pemilik permit import daging berkenaan.

Mereka juga mendesak agar SPRM membuat siasatan tentang bagaimana daging-daging itu boleh memasuki negara ini, kemana daging-daging ini diedarkan dan jumlah sebenar daging-daging berkenaan.

Mohd Zulfitri berkata demikian mengulas mengenai serbuan pihak berkuasa di Senai, Johor yang telah menjumpai sebanyak 1,500 tan daging sejuk beku bernilai lebih kurang RM30 juta yang
kemudiannya telah disita.

Jelas beliau lagi, pihaknya merasakan terlalu banyak kemusykilan dalam kes berkenaan yang tidak dijawab secara telus oleh pihak berkuasa yang terlibat.

“Selain tiada tangkapan dan pendakwaan yang dibuat terhadap sindiket ini setakat ini dengan alasan pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat.

“Justeru itu, pihak kami percaya wujud ketirisan dan penglibatan unsur rasuah dalam kalangan pegawai unit berkuasa yang menjaga pelabuhan tersebut sehingga daging import haram sebanyak itu dapat diseludup dan diedarkan ke seluruh negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes kartel import daging haram di selatan tanahair itu.

Siasatan dilakukan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Beliau juga berkata individu yang memperakui makanan, barang-barang atau perkhidmatan adalah halal yang bertentangan dengan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda maksimum RM500,000, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette