KUALA LUMPUR – Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang menjejaskan rutin harian rakyat sehingga puluhan ribu hilang pendapatan – nasib golongan anak yatim juga memerlukan perhatian.
Menyedari pentingnya golongan kurang bernasib baik itu sentiasa dibela, Yayasan Pelindung Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM) dipelopori presidennya, Datuk Tun Isham Safiee hari ini mendekati mereka dengan menghulurkan bantuan keperluan asas di kawasan Setapak dan Danau Kota.
Ia merupakan inisiatif murni serta misi kebajikan yayasan berusia enam tahun itu yang sentiasa mengambil berat keperitan golongan fakir miskin dan anak yatim supaya sentiasa dilindungi tanpa tersisih dari mata masyarakat.
Timbalan Presiden YPKPJM, Datuk Dr. Eko Indrajaya berkata, pihaknya dengan kerjasama Balai Polis Setapak menyantuni serta menghulurkan bekalan barang keperluan asas terdiri daripada tujuh jenis berupa beras, minyak masak, susu, telur, gula air mineral dan sebagainya.
“Kami memulakan misi bantuan kepada fakir miskin dan anak yatim sejak yayasan kami ditubuhkan pada 2014 lagi ke seluruh negara termasuk mangsa banjir dan kebakaran.
“Bagaimanapun, sejak Mac lalu, pandemik Covid-19 telah mengeruhkan keadaan rakyat dan aktiviti kerja mereka, bayangkan nasib anak-anak yatim dan asnaf yang sengsara lebih teruk akibat keadaan luar biasa ini.
“Maka menyedari hakikat ini, yayasan ini dengan kerjasama Balai Polis Setapak, memilih dan menyalurkan bantuan barang keperluan asas kepada rumah anak yatim dan kebajikan di kawasan Setapak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Empat rumah kebajikan disampaikan bantuan bekalan barang keperluan asas adalah Pusat Jagaan Anak Yatim Miskin Penyayang Nur Iman, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidkan Permata Hatiku, Pusat Jagaan Nuri dan Pertubuhan Kebajikan Lindungan Ikhlas Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihaknya akan meneruskan inisiatif murni itu pada Rabu ini di Keramat Ampang membabitkan bantuan kepada 60 keluarga fakir miskin terpilih.
“Kita menerima permohonan bantuan bekalan asas yang diperlukan setiap rumah anak yatim ini kepada Balai Polis Setapak sebelum kami menerusi ketua polis balai itu akan menerima dan menyediakan segala barang keperluan asas itu dan disalurkan segera menerusi program sedemikian.
“Kita lakukan kerja amal ini demi memastikan tiada mana-mana golongan miskin khususnya anak-anak yatim tidak terjejas dan sengsara dalam keadaan norma baharu ini.
“Itu masyarakat kita yang perlu dampingi dan dilindungi setiap masa, dan kita akan meneruskan misi ini dan kerjasama pelbagai pihak dan pujian perlu diberikan kepada Balai Polis Setapak yang sentiasa mendekati permasalahan masyarakat setempat seperti ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette