KUALA LUMPUR – Polis Johor hari ini menafikan dakwaan seorang guru agama dikesan positif Covid-19 di kawasan Orang Asli di Simpang Arang, Gelang Patah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia berita palsu dan sekadar khabar angin.
Menurutnya, pihaknya kesal penularan berita tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan ketakutan dalam kalangan masyarakat kira-kira 40 penduduk Orang Asli yang kemudian melarikan diri ke dalam hutan kerana bimbang dijangkiti pandemik yang menular itu.
“Kita ada terima khabar angin melibatkan kawasan perkampungan Orang Asli yang didakwa melarikan diri masuk ke dalam hutan selepas tersebar dakwaan guru agama di kawasan mereka dikesan Positif Covidi-19.
“Lebih 40 Orang Asli dikatakan lari masuk buat khemah dalam hutan kerana takut akan dijangkiti virus dari guru agama itu.
“Sebenarnya berita itu tidak benar, guru itu sebenarnya diuji negatif Covid-19,” katanya dalam sidang media khas Ops Bersepadu Pematuhan SOP PKPB di negeri itu di Johor Bahru hari ini.
Beliau dalam perkembangan sama meminta orang ramai jangan risau dan tidak mudah percaya dengan khabar angin yang mencetuskan kegusaran dan panik dalam kalangan umum.
“Saya mita masyarakat di Johor jangan percaya dengan khabar angin.. kes psotif akan dimaklumkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sahaja dan tindakan saringan kontak rapat akan diambil mereka.
“Jika anda risau, tanpa panik sila semak dengan polis dan KKM mengenai kesahihan sesuatu mamklumat berkaitan Covid-19 yang diterima bagi menentukan kesahihannya,” tegasnya lagi.
Menyentuh mengenai Ops Bersepadu yang dilancarkan hari ini, beliau berkata, ia disertai pelbagai agensi termasuk KKM negeri memandangkan kes di Johor semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Beliau pihaknya memandang serius penularan Covid-19 dan situasi kes di negeri ini dan satu operasi pemantauan SOP PKPB oleh orang ramai akan di laksanakan hari ini.
“Ia melibatkan pemeriksaan premis perniagaan tempat awam sama ada mereka mematuhi SOP yang ditetapkan KKM.
“Seramai 151 orang anggota pelbagai agensi termasuk PDRM akan melaksanakan operasi khas ini dan 61 premis akan diperiksa pematuhan SOP.
“Kita akan memeriksa premis dari segi penyediaan buku pendaftaran, peralatan saringa suhu, aplikasi MySejahtera serta individu awam yang gagal mencatitkan butiran peribadi ketika berurusan di mana-mana premis termasuk restoran makanan dan sebagainya.
“Kita akan mengeluarkan kompaun RM1,000 sekiranya premis atau orang awam yang gagal mematuhi SOP termasuk tidak memakai pelitup muka serta berkumpul di tempat sesak dan membawa kanak-kanak dan warga emas,” tegasnya.- MalaysiaGazette