Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, peminjam yang mempunyai masalah membayar balik pinjaman mereka perlu membuat permohonan moratorium itu di cawangan masing-masing mulai Januari depan.
“Kita ada moratorium bersasar. Sebagai contoh, ditakdirkan seorang Sahabat betul-betul tidak boleh membayar (pinjaman), dia boleh mohon tangguh bayar dua atau tiga minggu, dan tidak lebih setahun.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan harian sempena Program Bakul Kasih AIM di Dewan Felcra Seri Gala, Slim River di sini, hari ini.
Lajim berkata, setiap permohonan moratarium itu akan diperiksa dan pemantauan sewajarnya akan dijalankan bagi memastikan hanya peminjam yang betul-betul memerlukan penangguhan bayaran menerima manfaat itu.
AIM sebelum ini mengumumkan lanjutan pembayaran moratorium yang memberi manfaat kepada 262,000 Sahabat di seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 hingga 6 Dis lepas.
Keputusan moratorium ini membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM164 juta. – MalaysiaGazette