KUALA LUMPUR – Tangkap layar yang tersebar membabitkan Ketua Angkatan Pemuda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama beberapa pimpinan tertinggi parti itu telah menjejaskan imej dan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ketua Pembangkang, Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana AMK seharusnya menjadi benteng utama dalam mempertahankan Anwar serta menyakinkan anggota bahawa parti ini adalah parti masa hadapan dalam mengetengahkan peluang dan ruang kepada wajah-wajah baru terutamanya anak muda sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum mahupun negeri sehingga ianya menjadi asbab parti ini dicemburui oleh parti-parti lain.
Naib Ketua AMK Selangor berkata, Dzulhilmi Zainol mempersoalkan mengapa sayap kanan parti ini harus memberikan bola tanggung kepada pihak lawan untuk berterusan menyerang Anwar dengan dakwaan-dakwaan yang jahat dan jijik seperti itu.
Beliau turut mempersoalkan sehingga ke saat ini, belum ada sebarang penafian daripada pihak berkenaan terutama dari Akmal.
Dzulhimi yang juga Ketua AMK Damansara menambah, mereka terlupa Anwar merupakan bapa reformasi dan tanpa beliau, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) tidak akan mencapai kejayaan sehingga kini.
”Maka adalah tidak wajar pimpinan tertinggi AMK Malaysia menuduh, mengaibkan dan menfitnah Dato Seri Anwar Ibrahim adalah Imam Mahdi, mahupun dewa serta mempunyai maklumat sulit.
”Presiden juga telah didakwa telah mempermainkan harapan AMK dan mengarahkan beliau untuk ke Turki supaya duduk diam. Tuduhan tersebut tidak sepatutnya dilemparkan, walaupun ianya hanya sekadar gurauan,” katanya dalam kenyataan ini.
Beliau mengulas mengenai perbualan dalam bahasa Melayu dan Inggeris pemimpin kanan PKR itu yang tular sejak beberapa hari ini.
Perbualan itu menyatakan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap Anwar, selepas kegagalan membuktikan dirinya mempunyai sokongan majoriti. – MalaysiaGazette
Tuduhan terhadap Anwar, Akmal perlu disiasat Lembaga Disiplin PKR