KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) digesa untuk mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan filem kontroversi berjudul ‘Babi’.
Tindakan itu, jelas SKMM, bagi membolehkan suruhanjaya tersebut membuat penilaian terhadap kandungan filem Wee Meng Chee atau Namewee tersebut.
Jelas suruhanjaya itu, proses penelitian terhadap kandungan yang diadu boleh dibuat berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Selain AKM, penelitian lanjut juga boleh dibuat oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan mengikut peruntukan undang-undang lain yang terpakai berkaitan dengan kandungan atau penyiaran kandungan,” kata SKMM menerusi kenyataan.
Sekiranya didapati terdapat unsur pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh agensi terbabit selaras kesalahan yang dilakukan.
Pada Jumaat lalu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah membuat laporan polis ke atas Namawee di Balai Polis Taman Melawati kerana mendakwa filem ‘Babi’ berunsurkan perkauman selain memberi imej buruk terhadap negara.
Beliau turut mendakwa syarikat yang menerbitkan filem berkenaan turut melakukan pemalsuan dokumen Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).
Dalam pada itu, SKMM turut memaklumkan telah berhubung dengan pihak YouTube pada 19 November lalu berkenaan trailer filem ‘Babi’ yang dimuat baik oleh Namewee.
Namun suruhanjaya berkenaan masih belum menerima maklum balas daripada YouTube.-MalaysiaGazette