ADA sesetengah pihak yang berpandangan bahawa bekerja dengan pendapatan yang kecil merupakan faktor utama kenapa seseorang itu memilih untuk menerima rasuah. Tekanan hidup di bandar seperti sewa rumah yang tinggi, harga barang mentah yang berganda dan kos pendidikan anak-anak yang pelbagai telah menyebabkan gaji bulanan yang diterima tidak mencukupi, lantas mendorong mereka untuk menerima rasuah demi menampung kehidupan diri dan keluarga.
Jika alasan sebegini diterima sebagai satu pembelaan bagi penerima rasuah yang memilih
untuk menerima rasuah, maka lebih ramai pesalah undang-undang yang akan berani tampil memberi justifikasi kenapa mereka melakukan sesuatu jenayah. Pencuri akan memberi alasan bahawa mereka mencuri kerana kelaparan, perogol akan memberi alasan mereka merogol kerana tidak mampu berkahwin dan penculik kanak-kanak akan memberikan alasan mereka inginkan zuriat.
Menurut Laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, berdasarkan trend rasuah
di Malaysia dalam tempoh 2013 hingga 2018, sektor awam dilihat sebagai sektor yang paling berisiko terlibat dengan rasuah. Tahap risiko amalan rasuah yang dicatat oleh sektor awam adalah 63.30% berbanding 17.06% oleh sektor swasta. Keadaan ini disebabkan oleh tadbir urus yang lemah dalam bidang perolehan, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pentadbiran. Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula, daripada tahun 2015 hingga 2018, sejumlah 30 pegawai peringkat pengurusan tertinggi dalam sektor awam telah ditangkap kerana terlibat dalam rasuah dari tahun 2015 hingga 2018.
Berdasarkan statistik diatas, jelas membuktikan bahawa jenayah rasuah tidak hanya terfokus kepada mereka yang bergaji kecil. Jika gaji kecil adalah faktor utama, sudah tentu golongan yang berpendapatan rendah seperti golongan peniaga kecil, petani dan staf sokongan biasa yang memonopoli jenayah ini. Oleh itu, tidak akan timbul isu-isu rasuah yang melibatkan individu berpengaruh dan berkuasa dalam kes 1MDB, FELDA, MARA, SRC International dan Tabung Haji.
Kuasa dan integriti seseorang turut membuktikan bahawa inilah punca utama kenapa
terjadinya amalan rasuah. Memberi kuasa kepada mereka yang tidak berintegriti bermaksud membuka jalan kepada golongan ini untuk beramal bebas dengan amalan rasuah. Golongan sebegini sudah hilang sikap amanah dalam diri sehingga sanggup mengkhianati negara. Mereka akan menggunakan kuasa yang diberi untuk mengaut keuntungan semaksima mungkin demi kepentingan diri sendiri tanpa memperdulikan apa yang akan berlaku kepada rakyat dan negara. Mereka tidak kisah membuka sempadan kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dan menyokong kegiatan pemerdagangan manusia.
Apa yang penting, akaun bank dalam dan luar negara dapat dipenuhkan, pelaburan dapat ditingkatkan dan keperluan diri dan keluarga dapat dipuaskan. Sebab itulah baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita penahanan seorang kakitangan Imigresen yang bergred rendah KP19 yang dipercayai memiliki 4 kereta mewah Roll Royce Phantom, Mustang dan Range Rover serta Audi. Jika dilihat gred gaji anggota tersebut, pendapatan bulanan maksimum yang mungkin diperolehnya sebagai kakitangan kerajaan adalah tidak sampai RM5000.
Oleh itu, usaha yang berterusan mesti ditingkatkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) bagi menangani amalan rasuah ini. Jabatan-jabatan lain juga terutamanya badan penguatkuasa harus lebih peka dengan isu ini kerana ia melibatkan kepercayaan rakyat kepada mereka yang diberi kuasa dan amanah untuk melindungi. Jabatan-jabatan ini lebih mengetahui masalah rasuah di kalangan anggota mereka dan sudah pasti mereka lebih tahu bagaimana untuk menanganinya. Pelan-pelan integriti bagi menangani rasuah tidak mencukupi jika penguatkuasaannya masih lemah. Jika dibiarkan, ia akan terus menjadi wabak yang lebih serius dan mungkin tiada vaksin yang mampu mengubatinya.
Oleh: Dr. Zuraini Ab Hamid
Pensyarah Undang-undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Penulisan ini adalah sebahagian hasil dapatan kajian dari FRGS19-121-0730.
Rakyat berharap ahli2 parlimen dapat menggubal sebuah undang2 yang mana bukan sahaja penerima rasuah sahaja yang dihukum tetapi PEMBERI RASUAH juga dapat dihukum penjara mandatori 10 tahun!
Berita mengenai cina yang telah mengaku MEMBERI RASUAH kepada Tengku Nan yang hanya dikenakan denda sahaja AMAT MENGECEWAKAN orang ramai? Kes ini secara tidak lansung akan menjadi BENCHMARK dan akan menyemarakkan lagi INDUSTRI RASUAH ditanah air!
Ini hanyalah pandangan orang awam sahaja.
Ada banyak kes yang mencuri barang2 kecil di pasaraya dipenjarakan, malah ada yang kena sehingga 2 minggu etc etc.
Mengaku MEMBERI RASUAH tidak pula dikenakan penjara?
Ini apa cerita ni? Ramai layman yang nak tahu apa cerita sebenar?