Home Politik Isu perbualan Akmal Nasir patut diselesaikan secara harmoni dalam parti

Isu perbualan Akmal Nasir patut diselesaikan secara harmoni dalam parti

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Isu tangkapan layar perbualan melibatkan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) sepatutnya diselesaikan secara berhemah dan harmoni menerusi saluran yang betul dalam parti.

Seramai 14 Ketua AMK setiap negeri berpendirian isu melibatkan Akmal Nasir baru-baru ini perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan sayap PKR itu.

“Kami percaya perkara ini juga akan dapat diharmonikan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) Malaysia yang
melibatkan semua kepimpinan AMK Malaysia bersama Ketua-Ketua AMK Negeri.

“Kami menyeru agar seluruh anggota AMK merapatkan saf dan mengukuhkan gerak kerja agar AMK tampil menjadi sayap terkuat parti dalam menjayakan agenda Reformasi,” kata mereka menerusi kenyataan.

Antara yang mengeluarkan kenyataan bersama ini adalah Ketua AMK wilayah Persekutuan P. Prabakaran, Mohd Najwan Halimi (Ketua AMK Selangor), Azam Karap (Ketua AMK Perlis), Raymond Ahuar (Ketua AMK Sabah), Saifunnizam Sam (Ketua AMK Sarawak) dan dari Johor R. Yuneswaran.

Justeru kesemua ahli AMK di semua peringkat diseru bertenang dan memberi ruang kepada kepimpinan.

“Kami juga menolak sebarang agenda yang cuba menangguk di air keruh untuk melaga-lagakan anggota mahupun kepimpinan serta mengecam perbuatan membocorkan perbincangan tertutup sehingga mencetuskan suasana tidak menentu dalam parti.

“Kami percaya kepimpinan AMK akan tetap komited dan mendukung penuh kepimpinan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam usaha beliau membina Malaysia yang lebih baik dan mensejahterakan rakyat.

Awal hari ini barisan Exco AMK menerusi kenyataan menggesa agar Akmal Nasir meletakkan jawatan sebagai Ketua AMK yang sehingga kini masih membisu selepas tersebarnya perbualan yang menuduh dan mencaci Presiden parti berkenaan.

Barisan Exco AMK berkata, tindakan Akmal yang sehingga kini senyap seolah-olah mengiyakan perbualan Whatsapp yang tular sejak semalam. – MalaysiaGazette