Home Politik Pemuda PH dakwa Annuar Musa mahu hidupkan semula sistem surat sokongan

Pemuda PH dakwa Annuar Musa mahu hidupkan semula sistem surat sokongan

Tan Sri Annuar Musa. foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mahu menghidupkan semula tradisi sistem surat sokongan apabila beliau didedahkan mengemukakannya pada Perdana Menteri baru-baru ini untukĀ  projek pembinaan lebuh raya di Kelantan.

Ketua AMK Wilayah Persekutuan P. Prabakaran; Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam dan Ketua DAPSY Wilayah Persekutuan Lee Bing Hong menyifatkannya sebagai tindakan yang keterlaluan.

“Semasa zaman Pakatan Harapan memerintah, PH telah menghapuskan sistem surat sokongan. Namun hari ini, Kerajaan PN nampaknya seperti ingin menghidupkan kembali tradisi BN (surat sokongan) yang tidak boleh diterima pakai terutama apabila membabitkan wang rakyat,” kata mereka menerusi kenyataan.

Tambah mereka, projek yang dilakukan menerusi rundingan terus mempunyai banyak kelemahan.

“Selain itu, banyak kelemahan sekiranya projek runding terus ini dijalankan terutama projek akan diberikan kepada kroni yang tidak berkemampuan. Hal ini sekaligus menghalang pembinaan yang berkualiti dalam mencapai objektif pembangunan terancang yang lestari.

“Sewajarnya pada waktu ini, Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri Wilayah perlulah fokus dengan usaha bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19. Usahlah terlalu mengejar kekayaan demi untuk mengekalkan kuasa politik,” kata mereka.

Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam bahawa Annuar mengemukakan surat sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk rundingan terus projek membina dan menyiapkan Lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai (pakej 2C dan 3A) kepada sebuah syarikat.

Bagaimanapun Annuar telah memberi penjelasan baru-baru ini dengan menyatakan surat sokongan bukan keputusan atau arahan dan tidak semestinya diterima pakai.

Pada Ogos lalu, Pakatan Harapan dilaporkanmeluluskan 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. – MalaysiaGazette