Home Seni Hidup Siti Nurhaliza bakal dapat anak lelaki

Siti Nurhaliza bakal dapat anak lelaki

Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 41, bakal menimang cahaya mata lelaki pada April tahun depan.

Penyanyi lagu Kuasa Cintamu itu berkongsi jantina anak yang bakal dilahirkan menerusi Kempen Shopee Live 12.12 Birthday Sale secara maya semalam.

Turut hadir, suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K.

“Alhamdulillah, impian inginkan sepasang cahaya mata akan menjadi kenyataan, tidak lama lagi. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan ini,” katanya yang kini hamil hampir lima bulan.

Siti berkata, anak sulungnya, Siti Aafiyah teruja bakal mendapat adik.

“Aafiyah, anak yang bijak. Apabila diterangkan akan mendapat adik, dia seakan faham. Malah, apabila ditanya mana adik, pantas ditunjuk ke perut saya dan menciumnya.

“Dia paling seronok nak dapat adik. Aafiyah, jenis yang suka kanak-kanak, tak kira kecil mahupun besar daripadanya.

Berbanding awal trimester kehamilan, Siti berkata, dia cepat penat dan lemah.

“Nak bersiap pun jadi malas. Bagaimanapun, sekarang ini, sudah sedikit cergas. Tak mabuk dan loya lagi. Saya bolehlah turut serta dalam acara seperti kempen Shopee ini.

“Saya bersyukur tidak mengidam bukan-bukan dan pelik sejak kehamilan Aafiyah hingga anak kedua ini. Semuanya masih terkawal, cuma saya tak boleh jamah makanan pedas sejak hamil Aafiyah dan anak kedua ini. Sedangkan, saya jenis suka makanan pedas,” katanya.

Sementara itu, Datuk K mendedahkan anak lelak yang bakal dilahirkan juga akan dinamakan dengan permulaan nama Mohamad, diikuti huruf A.

“Saya sudah ada empat cahaya mata lelaki dan seorang perempuan. Nak tambah lagi seorang lelaki.

“Insya-Allah, nama anak kami akan dikongsi selepas tujuh hari kelahirannya nanti,” katanya.

Pada acara sama, produk SimplySiti turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat kosmetik, Nr Cosmetics, milik jurusolek serta saintis, Nuex Rosli yang mengeluarkan produk dua dalam satu.

Produk jenama Siti yang sudah 10 tahun berada dalam pasaran di bawah kempen SimplySiti Di Hati turut menyertai kempen amal yang dianjurkan platform beli-belah berkenaan bagi membantu mereka yang memerlukan. – MalaysiaGazette