KUALA LUMPUR – Krisis politik yang berlaku di negara ini akibat daripada tindakan ahli-ahli politik yang melompat parti.
Dapatan itu hasil kajian Tinjauan Pelaksanaan Undang-Undang Lompat Parti oleh Rakyat Malaysia yang dijalankan Cent-GPS Research.
Walaupun jumlah minoriti (14%) menyatakan amalan lompat parti ini memberi kesan langsung kepada mereka, namun majoriti hasil dapatan tinjauan (53%) percaya krisis politik semasa berlaku adalah kerana ahli parlimen lompat parti.
Hanya 12% responden yang tidak mahu Undang-Undang Anti Lompat Parti dilaksanakan.
Oleh itu, sekalipun hanya minoriti yang menilai tindakan lompat parti memberi kesa kepada mereka, namun kebanyakan rakyat Malaysia masih percaya bahawa krisis politik semasa dapat dielakkan dengan pelaksanaan undang-undang Anti Lompat Parti.
Lebih-lebih lagi, sekalipun tidak terkesan, kebanyakan mereka (46%) mengaku mereka hilang minat dalam politik dek kerana tindakan lompat parti ahli parlimen.
Tinjauan Cent-GPS ini melibatkan 1,100 responden di seluruh negara, disasarkan adalah 40% responden dari utara Semenanjung, 40% dari zon tengah Semenanjung, 10% selatan Semenanjung dan 10% Malaysia Timur (Sabah Sarawak).
Seramai 56% responden adalah wanita, 44% adalah lelaki. 14% responden berumur 16-20 tahun; 57% berumur 21-30, 11% berumur 31-40; 9% berusia 41-50, 6% berumur 51-60 dan 2% berumur 60+.
Kira-kira 30% daripada jumlah keseluruhan responden tidak mahu menyatakan pendapatan mereka, 34% berpendapatan kurang dari RM2,000, 24% memperoleh antara RM2,001 hingga 4,000, 8% memperoleh antara RM4,001-6999 dan 4% memperoleh melebihi RM7,000 sebulan.
Tinjauan telah dilakukan pada 19 November hingga 10 Disember 2020.
Kajian mendalam terhadap data yang diperoleh mendapati, keputusan pilihan antara lelaki dan wanita Melayu bagi hal hukuman kepada ahli parlimen yang lompat parti adalah serupa.
Kira-kira 44% lelaki Melayu dan 45% wanita Melayu percaya ahli Parlimen tidak patut dibenarkan bertanding dalam pilihan raya akan datang manakala kira-kira 34% lelaki Melayu dan 35% wanita Melayu percaya bahawa mereka harus segera mengosongkan kerusi masing-masing.
Di samping itu, lelaki Melayu adalah kurang cenderung untuk hilang minat dalam politik kerana amalan lompat parti ini berbanding wanita Melayu, hanya 43% lelaki Melayu menyatakan kecenderungan untuk hilang minat, berbanding 50% wanita Melayu yang berasa terkesan dan hilang minat kepada politik akibat amalan lompat parti ahli parlimen.
Analisis mengikut kategori pendapatan pula mendapati, 33% responden yang pendapatannya di bawah RM2,000 memahami apa maksud Undang-Undang Anti Lompat Parti.
Begitu juga 42% responden yang pendapatannya melebihi RM2,001 turut menyatakan pemahaman mereka.
Namun begitu, kira-kira 49% responden yang pendapatannya di bawah RM2,000 memilih ‘tidak pasti’ apabila ditanya mengenai kefahaman mereka dalam Undang-Undang Anti Lompat Parti ini.
Sementara itu, 40% responden yang pendapatannya melebihi RM2,001 pula menyatakan bahawa mereka faham akan undang-undang ini.
Ringkasnya, responden Malaysia yang berada dalam kelas pendapatan yang lebih tinggi, cenderung untuk memahami mengenai Undang-Undang Anti Lompat Parti.
Apabila melihat perbezaan kesan kepada responden mengikut kelas pendapatan, hanya 10% responden dengan pendapatan di bawah RM2,000 mengatakan bahawa mereka terkesan dengan amalan ini. Berbanding dengan mereka yang berpendapatan melebihi RM2,001, 20% responden dalam kumpulan ini mengatakan bahawa mereka turut terkesan.
Namun begitu, 52% responden yang pendapatannya di bawah RM2,000 memberi jawapan “agak terjejas”, sementara 42% responden yang pendapatannya melebihi RM2001 yang memilih jawapan yang sama, iaitu “agak terjejas” akibat amalan lompat parti.
Responden dalam kelas pendapatan lebih tinggi pula cenderung berasa terkesan akibat amalan lompat parti ahli parlimen berbanding dengan responden yang berpendapatan rendah.
Secara kontruktual, jika amalan ini masih berterusan, ia bukan sahaja akan menyebabkan ketidakstabilan politik di Malaysia, malah akan memberi kesan buruk kepada ekonomi, keyakinan pelabur dan perancangan polisi untuk jangka masa panjang.
Cent-GPS Research berkata, kita tidak perlukan pakar mahupun saintis politik untuk menilai ancaman amalan lompat parti yang mengganggu-gugat tumpuan kerajaan hari ini dalam fokus mereka kepada pembangunan polisi dan pelan kesejahteraan jangka panjang untuk rakyat Malaysia akibat tidak mampu mengekang cubaan untuk mendapatkan kuasa dengan memanipulasi sistem.
Sekiranya amalan lompat parti masih dibenarkan, ahli politik ini akan memberi keutamaan kepada populariti jangka pendek dan dasar jangka pendek yang populis berbanding dasar yang kurang popular tetapi menguntungkan negara dalam jangka masa panjang bagi memastikan mereka kekal berkuasa. – MalaysiaGazette
teringat lagu KATAK SI KATAK LOMPAT dan BANGAU OH BANGAU…AKIBAT ahli politik BERSANDIWARA dan BERCAKARAN akhirnya rakyat jadi entah berantah…MUNGKIN RAMAI yang tidak keluar mengundi PRU akan datang dek Virus BEBRBALAH ini.
ia bukan sahaja akan menyebabkan ketidakstabilan politik di Malaysia, malah akan memberi kesan buruk kepada ekonomi, keyakinan pelabur dan perancangan polisi untuk jangka masa panjang.