Home Seni Hidup Aliff Aziz kembali ke pangkuan keluarga di Malaysia

Aliff Aziz kembali ke pangkuan keluarga di Malaysia

Foto Instagram Bella.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aliff Aziz akhirnya kembali ke pangkuan isteri, Bella Astillah dan anak-anak di Malaysia selepas hampir dua tahun dihimpit pelbagai kontroversi dan tinggal bersama keluarga di Singapura.

Perkara itu dikongsi oleh ibunya Siti Haza di Instagram yang meluahkan rasa sedih dan berat hati untuk melepaskan anaknya, namun memahami tanggungjawab Aliff sebagai ketua keluarga.

“Hari di mana saya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada anak saya… Alhamdulillah selepas hampir dua tahun akhirnya dia kembali ke Malaysia untuk bersama isteri dan anak-anak.

“Walaupun berat untuk mengucapkan selamat tinggal… kami faham tanggungjawab dia untuk bersama keluarga lebih penting,” tulisnya.

Menerusi video yang dimuat naik semalam, kelihatan Aliff dihantar oleh ibu dan ahli keluarga lain di Lapangan Terbang Changi Singapura untuk berlepas ke Kuala Lumpur.

Siti Haza turut mendoakan anaknya itu supaya menjadi seorang insan yang lebih baik untuk keluarganya.

“Kamu sentiasa ada dalam doa, jaga diri kamu dan keluarga.  , ” ujarnya.

Sementara itu, Aliff turut mengucapkan terima kasih kepada ibunya dan berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk kehidupan masa depannya.

“Terima kasih banyak umi dan ayah. Semoga usaha yang saya lakukan nanti akan membuahkan hasil dan membanggakan umi dan ayah, ” ujarnya.

Aliff dan Bella berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki Muhammad Ayden Adrian yang kini berusia tiga tahun dan bayi perempuan pada Julai lalu.

Pasangan ini kemudian membuat keputusan untuk bercerai pada 16 Mei tahun lalu selepas Aliff beberapa kali kantoi berlaku curang. – MalaysiaGazette