KUCHING – Bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga, kira-kira 720 kilometer (km) ke utara dari sini musnah dijilat api dalam satu kebakaran tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, kebakaran itu dipercayai berlaku kira-kira 1.19 tengah hari dan sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 177km ke pedalaman dari balai berkenaan.
“(Sebagai) tindakan awal, PGO turut menghubungi PBS (Pasukan Bomba Sukarela) Belaga untuk respons kebakaran tersebut.
“Perjalanan ke lokasi mengambil masa empat jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Bintulu,” menurut PGO menerusi aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar), Datuk Liwan Lagang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga ketika dihubungi Bernama berkata, kebakaran itu melibatkan bangunan IPD Belaga dan Balai Polis Belaga yang berstruktur kayu dan zink.
“Laporan yang saya terima mengatakan kebakaran bermula dari bahagian pejabat (Jabatan Siasatan Jenayah) Narkotik yang dipercayai berpunca daripada litar pintas,” katanya. – Bernama