JOHOR BAHRU – Seekor kucing ditemui mati tersepit di pintu ‘roller shutter’ sebuah bank dalam keadaan yang sangat tragik dipercayai akibat angkara khianat di Taman Tampoi Utama, Tampoi di sini, awal pagi tadi.
Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian dipercayai berlaku pada 12 tengah malam semasa penutupan bidai besi secara automatik dan disedari orang awam kira-kira 3 pagi sebelum memaklumkannya kepada persatuan sekitar 4.30 pagi.
“Setiap bank akan menutup pintu roller shutter di ruang mesin ATM (mesin juruwang automatik) bermula 12 tengah malam dan hanya membukanya semula pada 6 pagi,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi persatuan berkenaan.
“Kucing tidak akan tunggu di satu lokasi jika berlaku bunyi bising. Sudah tentu bunyi roller shutter itu kuat sewaktu turun akan memeranjatkan kucing dan kucing akan berlari pergi.
“Jadi, seolah-olah badan kucing sengaja ditahan hingga leher kucing tersepit,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi persatuan.
— BERNAMA