Home Seni Hidup Lebih banyak usaha dedah sejarah pawagam Tamil kepada golongan muda

Lebih banyak usaha dedah sejarah pawagam Tamil kepada golongan muda

KUALA LUMPUR – Lebih banyak usaha akan dilakukan untuk mendedahkan sejarah pawagam Tamil di Malaysia kepada generasi muda supaya mereka mengetahui asal usul dan pembangunan industri filem dalam lima dekad lepas. 

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Denes Kumar berkata ini adalah penting kerana pembikinan filem tempatan dalam Bahasa Tamil atau filem India di luar Tamil Nadu, India semakin berkembang aktif di Malaysia.

“Saya percaya nilai pertumbuhan datang daripada akarnya. 

“Berapa ramai generasi muda hari ini yang benar-benar mengetahui sejarah pawagam Tamil di Malaysia, pelakon perintis dan pembikin filem serta  sumbangan mereka yang membawa pertumbuhan industri ini?” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara khas di Wisma Bernama di sini baru-baru ini.

Denes yang mengetuai Jawatankuasa Pasaran Kandungan dan Pasaran Benua Kecil India di bawah Finas  berkata Program Lensa Finas akan mempromosi lebih banyak sumbangan yang dilakukan artis veteran Filem Tamil untuk memberikan inspirasi kepada generasi muda bagi menceburi industri itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata filem Tamil tempatan semakin mendapat tempat di hati kalangan generasi muda di Malaysia kerana mudah bagi mereka mengaitkan diri mereka dengan filem atau watak dengan kehidupan mereka atau mana-mana situasi yang pernah mereka hadapi.

“Karya yang bermakna perlu benar tetapi menggambarkan realiti.  Industri filem Tamil tempatan sedang meningkat naik, banyak anak muda menyokong kandungan filem Tamil tempatan kerana mereka boleh mengaitkan diri mereka sendiri dengan watak di dalam filem yang mereka anggap sebagai abang dan kakak mereka sendiri,” katanya.

Denes berkata sekatan yang dikenakan kerana pandemik COVID-19 sebaliknya memberi hikmah kepada pengeluar filem tempatan apabila mereka berpeluang untuk menguji pasaran dengan platform berbeza seperti platform “over-the-top” (OTT) untuk mengeluarkan filem masing-masing. 

Bagaimanapun beliau percaya industri pawagam akan bangkit setelah situasi COVID-19 kembali pulih kerana ramai yang tidak sabar-sabar untuk kembali menonton filem di layar perak.  

 Biarpun platform OTT menjadi trend semasa dalam normal baharu, saya rasa orang ramai akan tetap pergi ke panggung wayang, kedua-dua mereka akan wujud bersama,” katanya.

Beliau juga menasihatkan mereka yang ingin menjadi pelakon filem tempatan supaya mengambil kursus jangka pendek dalam lakonan yang ditawarkan banyak institut sebelum hadir untuk penggambaran filem kerana mereka akan memahami tanggungjawab mereka dengan baik. -BERNAMA