Home Politik Mohd Nizar nafi sokong Anwar

Mohd Nizar nafi sokong Anwar

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria menegaskan tidak pernah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi mengokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Nizar berkata, dirinya berpegang kepada prinsip setia dan berpegang teguh kepada UMNO dan BN.

“Merujuk satu artikel yang tular mengenai khabar angin kononnya ada 10 orang ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar yang turut mengaitkan nama saya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya terlibat dalam polemik ini.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip serta sentiasa akur kepada segala arahan dan keputusan yang telah dibuat oleh parti UMNO,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain Nizar, Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga dikaitkan antara 10 ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar menerusi akuan bersumpah.

Bagaimanapun kedua-duanya telah menafikan menyokong Anwar selepas sekali lagi Presiden PH yang juga Presiden PKR itu sekali lagi dikatakan akan cuba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan mencukupi daripada Ahli Dewan Rakyat.- MalaysiaGazette