
KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 5.4 peratus pada Oktober 2020 kepada 48,663 tan metrik berbanding 46,187 tan metrik pada bulan sebelumnya.
Perbandingan dengan bulan yang sama tahun sebelumnya turut mencatatkan peningkatan pengeluaran sebanyak 0.3 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 54,492 tan metrik pada Oktober 2020, meningkat sebanyak 11.8 peratus berbanding 48,720 tan metrik pada September 2020.
China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 57.0 peratus daripada jumlah eksport pada Oktober 2020 diikuti Jerman (11.7%), Finland (3.7%), Iran (3.3%) dan Brazil (2.8%).
Menurutnya, sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM3.8 billion pada September 2020 kepada RM4.4 billion pada Oktober 2020 iaitu meningkat sebanyak 14.6 peratus.
Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom terus kekal sebagai antara negara tertinggi eksport produk sarung tangan getah.
Stok getah asli meningkat pada Oktober 2020 iaitu sebanyak 256,724 tan metrik berbanding 255,089 tan metrik pada September 2020 dengan peningkatan 0.6 peratus.
“Harga purata GMM 20 mencatatkan harga tertinggi pada Oktober 2020 dengan peningkatan kepada 621.76 sen sekilogram berbanding 558.50 sen sekilogram pada September 2020. Trend yang sama turut ditunjukkan bagi harga purata Lateks Pekat iaitu
meningkat kepada 576.14 sen sekilogram pada Oktober 2020 bagi tempoh yang sama (September 2020: 484.57 sen sekilogram)”, katanya lagi.
Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Oktober 2020 ialah 48,518 tan metrik, meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu penggunaan sebanyak 36,901 tan metrik atau 76.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette