Home Politik Sebar perbualan Akmal, pasti ada pihak mahu pecah belah PKR – Amirudin

Sebar perbualan Akmal, pasti ada pihak mahu pecah belah PKR – Amirudin

Amirudin Shari

SHAH ALAM – Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan ada pihak berniat mahu memecah-belahkan muafakat pimpinan dalam parti itu ekoran penularan perbualan Akmal Nasir baru-baru ini.

Justeru itu, perkara tersebut sepatutnya diselesaikan secara muafakat dan menerusi perbincangan dalam parti dan dalam masa yang sama memberi ruang kepada anggota dan pimpinan untuk mengemukakan pandangan.

“Kalau ia ditularkan, disebarkan pasti ada niat-niat tertentu yang ingin memecah-belahkan dan berniat kurang baik. Justeru nasihat saya kita elakkanlah hal-hal tersebut.

“Kalau ada masalah mungkin bukan baharu, mungkin bukan hari ini, mungkin hal itu telah selesai tetapi bentuk-bentuk teks ini kemungkinan akan berpanjangan orang yang baca hari ini konteksnya lain yang 10 tahun lepas atau 15 tahun lepas.

“Saya rasa elok ia diselesaikan secara muafakat di dalam parti melalui perbincangan kerana PKR menjunjung demokrasi seharusnya memberi ruang kepada anggota-anggota, pimpinan-pimpinan mengemukakan pandangan serta hala tuju yang akan membawa parti berhadapan dengan PRU dan meneruskan agenda reformasi,” katanya.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Subsidi Bagi Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) Selangor di Dataran Perhimpunan SUK hari ini.

Baru-baru ini, satu tangkap layar perbualan tersebar di media sosial yang dipercayai membabitkan Akmal dan beberapa pemimpin PKR.

Kandungannya antara lain menyelar presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Ketua Pembangkang.

Sehingga kini Akmal masih belum membuat penjelasan berhubung penularan tangkapan layar berkenaan.

Susulan itu Akmal didesak oleh barisan Exco AMK semalam untuk meletakkan jawatan.

Ditanya sama ada patut atau tidak Akmal dan individu yang terlibat dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada pucuk pimpinan, Amirudin menyerahkan keputusan itu dibuat oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat.

Namun yang pasti bagi beliau ia perlu diselesaikan secara berhemah.

“Ia saya pulangkan kepada pucuk pimpinan parti, Biro Poltik, Majlis Pimpinan Pusat.

“Saya mungkin ada pandangan saya sendiri tapi hal tersebut baik dikemukakan secara berhemah dalam parti serta dalam mesyuarat-mesyuarat parti,” tambahnya.-MalaysiaGazette