Home Nasional Sekumpulan lelaki bertopeng kebas RM270,000 dari mesin ATM

Sekumpulan lelaki bertopeng kebas RM270,000 dari mesin ATM

Kejadian empat hingga lima suspek bertopeng memecah masuk kedai 7 Eleven dan memotong ATM dan melarikan wang tunai berjumlah RM270,000 dari mesin ATM di premis serbaneka di Taman Meru, Klang awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Polis memburu empat hingga lima suspek yang memecah masuk kedai serbaneka dan melarikan wang RM270,000 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Taman Meru, Klang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, sekumpulan lelaki itu juga menyembur cat hitam kepada kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan mengelak mereka dicam.

“Bertindak atas maklumat, polis telah bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah kedai 7 Eleven dipecah masuk dan sebuah mesin ATM yang ada di dalam premis itu telah dipecahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nurulhuda, hasil siasatan mendapati kesemua suspek bertopeng itu memecah masuk pintu hadapan premis berkenaan pukul 5.15 pagi berdasarkan rakaman CCTV.

“Suspek dipercayai menggunakan gas oxy untuk memecahkan mesin ATM sebelum memotongnya. Suspek mengambil masa lebih kurang 30 hingga 40 minit untuk memotong dan memecahkan mesin tersebut sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM270,000,” ujarnya.

Menurut beliau, Pasukan Forensik Polsi Diraja Malaysia telah melakukan siasatan di lokasi kejadian bagi mendapatkan bukti dan sebarang petunjuk.

Polis juga mendapati sejumlah wang kertas not RM50 dan RM100 bertaburan di kaki lima hadapan premis itu dipercayai tercicir semasa sekumpulan lelaki itu melarikan diri.

Tegas Nurulhuda, kes di siasat di bawah 457 Kanun Keseksaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette