Home Nasional Siasatan kes nahas helikopter terhempas masih berjalan

Siasatan kes nahas helikopter terhempas masih berjalan

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan, siasatan nahas udara yang melibatkan dua helikopter syarikat swasta di Taman Melawati pada November lalu masih dijalankan.

Katanya, objektif utama siasatan itu adalah untuk menentukan keadaan dan penyebab kemalangan dengan tujuan melindungi nyawa dan mencegah kemalangan pada masa depan.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) juga menegaskan bahawa penyiasatan yang dilaksanakan ini tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.

“Sebaliknya, siasatan ini dijalankan untuk memastikan keselamatan orang awam dan semua pemain industri penerbangan sentiasa diutamakan setiap masa,” katanya menerusi kenyataan yang dmuat naik di Facebook rasmi milik beliau, hari ini.

Insiden nahas udara yang membabitkan dua buah helikopter di Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 8 November lalu menyebabkan dua individu meninggal dunia selepas helikopter dinaiki mereka terhempas akibat perlanggaran di udara.

Sehubungan itu, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melaksanakan kajian semula terhadap peraturan dan prosedur penerbangan sedia agar insiden nahas udara tidak berulang lagi.

“Ini perlu dilakukan bagi mengenal pasti sebarang kekurangan serta memperbaikinya untuk memastikan keselamatan orang ramai termasuk peminat-peminat penerbangan swasta sentiasa terjamin tanpa menjejaskan pertumbuhan perniagaan dan industri penerbangan.

“CAAM kini sedang berusaha untuk menjadikan latihan tambahan sebagai syarat kepada kelab-kelab dan pengendali swasta. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kecekapan di kalangan peminat penerbangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette