KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa rakyat di negara ini berpendapat dasar pelajaran atau pendidikan negara sudah tidak sesuai dengan peralihan zaman.
Katanya, sektor pendidikan negara perlu diubah agar lebih sesuai dengan cara hidup golongan anak-anak muda di negara ini.
“Sistem mengajar juga perlu ditukar kerana perkembangan teknologi berkomunikasi yang mampu memperkenalkan ilmu dengan lebih mudah.
“Kita guna guru dalam darjah untuk menyampaikan ajaran ilmu kepada murid. Kita juga menyediakan buku untuk permudahkan perolehan ilmu. Tetapi sekarang kita boleh sampaikan ilmu dengan menggunakan komputer.
“Sebenarnya pengajaran yang disampaikan dalam Youtube umpamanya lebih mudah difahami kerana dianya disediakan oleh pakar dan dengan adanya gambar bergerak. Penuntut boleh ulang berkali-kali pelajaran yang disampaikan,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan, hari ini.
Jelas Mahathir lagi, beliau berharap agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengkaji dan memperkenalkan cara mengajar baharu yang lebih sesuai dengan zaman teknologi sekarang.
Melalui Internet, Kementerian Pendidikan boleh mendapatkan pembelajaran daripada guru-guru pakar dan boleh disediakan terus kepada pelajar.
“Sudah tentu dalam mempelajari Bahasa Inggeris kursus yang disedia oleh pakar, yang membolehkan kita dengar perkataan-perkataan yang betul serta susunan ayat, akan permudahkan kita mengikuti dan mengulangi apa sahaja berkali-kali sehingga terlekat dihati.
“Sesungguhnya dasar dan cara pendidikan perlu dikaji dan dipinda supaya lebih sesuai dengan keperluan anak muda di masa hadapan. Demikian juga dengan cara menyampai ilmu kepada penuntut di semua peringkat,” katanya lagi.
Oleh yang demikian, Mahathir berkata, tiada apa-apa cadangan dalam belanjawan untuk pendidikan ke arah itu dan tidak akan menyokong belanjawan ini.
Dalam Belanjawan 2021 bulan lalu, Kementerian Pendidikan diperuntukan RM215.5 juta untuk Pendidikan Teknik dan Vokasional dan RM15.963 juta untuk program Pembangunan Kurikulum. – MalaysiaGazette
Bagi duit anak2 dan kroni supaya semua murid2 atau pelajar2 daoat memiliki laptop dan gajet pembelajaran dan pastikan kemudahan untuk akses internet lebih mudah..