Home Seni Hidup Menara KL tawar tiket percuma untuk pengunjung

Menara KL tawar tiket percuma untuk pengunjung

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar (kanan) bersama Pengurus Besar Menara Kuala Lumpur, Mohd Dzulfiqhary Ibrahim (kiri) melawat 'Sky Deck' selepas taklimat media Promosi Kita Prihatin Bersama (PKPB) yang menawarkan tiket percuma kepada 100 pengunjung pertama setiap hari untuk ke Observation Deck dan promosi diskaun 50% kepada seluruh rakyat Malaysia untuk ke untuk ke Sky Deck, Menara Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur (MKL) dan Menara Alor Setar (MAS) menawarkan tiket percuma kepada orang ramai untuk menikmati pemandangan ibu negara dari Pelantar Pemandangan di menara berkenaan.

Promosi tersebut diadakan sempena pembukaan semula menara itu pada 30 November lepas sehingga hujung bulan ini dalam pasca Covid-19 yang masih melanda dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif MKL, Ainol Shaharina Sahar berkata, pembukaan semula kedua-dua menara tersebut adalah bagi merancakkan kembali industri pelancongan domestik dengan satu promosi istimewa sepanjang Disember yang dipanggil Promosi Kita Prihatin Bersama (PKPB).

Katanya, menerusi promosi itu pihaknya menawarkan tiket percuma kepada 100 pengunjung pertama setiap hari ke Pelantar Pemandangan di Menara Kuala Lumpur.

“Manakala tiket percuma kepada 25 pengunjung pertama setiap hari ke Pelantar Pemandangan di Menara Alor Setar turut disediakan.

“Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mendapat diskaun sebanyak 50 peratus untuk ke Sky Deck di Menara Kuala Lumpur dan Star View di Menara Alor Setar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ainol berkata, bagi tujuan itu juga pihaknya ada mengadakan lelongan tiket dengan potongan sehingga 80 peratus untuk ke Sky Deck.

Katanya, lelongan akan dibuat menerusi Facebook MKL yang disiarkan secara langsung pada 19 Disember ini pada pukul 9 malam.

Justeru, beliau mempelawa orang ramai untuk mengikuti siaran langsung jualan tiket lelong itu kerana ia sangat murah dan berbaloi untuk dibeli.

“Kita akan lelong tiket yang ada sampai habis hingga hujung tahun ini.

“Sekarang ini potongan hanya 50 peratus tetapi sekiranya masuk dalam lelongan tersebut tiket lagi murah,” ujarnya.

Mengulas lanjut Ainol berkata, sejak kerajaan melaksanakan PKP, jumlah pengunjung yang datang melawat MKL menurun sehingga 70 peratus dan disebabkan itu pihaknya merangka strategi bagi mengembalikan semula bilangan pengunjung ke salah satu tarikan pelancongan di ibu negara itu.

Ujarnya, promosi itu juga sememangnya bertujuan untuk menarik jumlah pelancong dalam negara terutamanya mereka yang bukan daripada zon merah.

Dalam pada itu, Ainol memberitahu, banyak lagi promosi akan diadakan di MKL pada tahun depan dalam usaha untuk menarik pengunjung.

Katanya, perancangan promosi-promosi baharu tersebut sudah siap dan kini hanya menunggu masa untuk diimplementasikan.

“Jadi tunggu dan lihatlah. Tahun depan andai kata kalau Perintah Kawalan Pergerakan dari segi sempadan dah dibuka, Insyaallah kita akan dapatkan pengunjung dari luar negara.

“Kita akan tambah hebatkan lagi promosi yang ada serta menambah juga pakej-pakej yang lebih menarik,” tambahnya. – MalaysiaGazette