Home Pendapat Menjaga ikhtilat dalam Islam

Menjaga ikhtilat dalam Islam

Baik wanita, mahupun lelaki perlu berhati-hati dalam pergaulan dan perbualan melalui media sosial. Gambar hiasan

PADA masa sekarang, ikhtilat ini seolah-olah tidak dapat dielakkan. Ikhtilat berlaku baik di tempat kerja, sekolah, universiti, institusi dan juga dalam aktiviti seharian. Justeru itu, menjadi tanggungjawab semua untuk menjelaskan kepada masyarakat berhubung garis panduan ikhtilat yang sebenarnya dalam Islam. Panduan ikhtilat membantu masyarakat memperbaiki hubungan antara lelaki dan wanita ketika bermuamalah. Perkara ini secara tidak langsung dapat merawat perhubungan bebas yang berlaku dalam kalangan remaja di sekolah atau institusi pengajian tinggi. Malahan, majikan dan warga kerja juga dapat mengawal aktiviti dan program yang melibatkan percampuran antara lelaki dan wanita dalam urusan berkaitan pekerjaan. Perhubungan bebas antara lelaki dan wanita jika tidak dikawal dan dipandu sebaiknya akan membawa kepada pelbagai masalah yang lain seperti perzinaan, pembungan bayi hasil hubungan terlarang, kekasih gelap dan keruntuhan institusi keluarga.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan ikhtilat? Menurut Prof. Dr. Yusof al-Qardawi dalam kitabnya Fatwa al-Muasorah menyebut bahawa ikhtilat bermaksud percampuran di dalam perhubungan antara lelaki dan wanita. Maksud pergaulan (ikhtilat) menurut Muhammad ‘Uqlah ialah pertemuan antara dua individu atau lebih yang berlainan jantina tanpa kehadiran mahram di rumah atau selainnya kerana urusan keperluan yang syarie serta
berlakunya percakapan, pergaulan dan komunikasi. Menjaga pergaulan dan tingkah laku merupakan suatu tuntutan dalam Islam. Perlakuan tersebut menggambarkan keindahan akhlak dan keluhuran budi pekerti yang disanjung tinggi dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: ‘Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”(Hadith Riwayat al-Bukhari). Oleh itu, setiap muslim hendaklah menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Hal ini tidak terkecuali kepada mana-mana wanita atau lelaki yang keluar rumah untuk menjalankan sebarang urusan seperti bekerja, belajar, berpolitik, berjual-beli dan bersukan.

Sejarah Islam telah menunjukkan beberapa contoh yang baik dalam aspek pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Pertama, pada zaman Rasulullah SAW mulanya kaum lelaki dan wanita boleh memasuki masjid menerusi mana-mana pintu yang terbuka. Namun, apabila sering berlaku kesesakan maka Rasulullah SAW telah bersabda, ”Alangkah baiknya sekiranya kamu jadikan pintu ini untuk wanita”. Lantaran itu, pintu
tersebut sehingga sekarang dikhususkan untuk wanita masuk menerusinya dan dikenali sebagai Bab An- Nisa’. Kedua, Rasulullah SAW pernah menolak apabila wanita Islam menghulurkan tangan untuk berbaiah dengan baginda. Ketiga, Rasulullah SAW juga menyuruh para wanita berjalan di tepi-tepi jalan bagi mengelakkan percampuran antara lelaki dan wanita. Keempat, penyertaan kaum wanita di medan perang juga disertai oleh mahram dalam kalangan ayah, suami atau anak lelaki mereka.

Peranan wanita dalam peperangan juga dihadkan untuk memberi rawatan kecemasan, menjaga pejuang Islam yang tercedera, memasak, menyediakan minuman dan melengkapkan keperluan peperangan yang diperlukan oleh kaum mujahidin. Menyedari hakikat ini, bentuk penjagaan ikhtilat yang ditunjukkan sepatutnya menjadi tauladan yang berguna kepada generasi moden kita pada hari ini. Model ini adalah tepat untuk dijadikan inspirasi bagi mengatur urusan mereka apabila melibatkan percampuran jantina. Walau pun mungkin masyarakat moden menganggap sebagai perbuatan yang ketinggalan zaman atau kolot namun perkara ini yang jika dipraktikkan dapat menyelamatkan dari pelbagai anasir buruk.

Justeru itu, ulamak tafsir telah menetapkan syarat dan tatacara yang khusus berkaitan penjagaan ikhtilat. Bentuk-bentuk penjagaan ikhtilat yang perlu diambil perhatian termasuklah tidak bersunyian antara lelaki dan wanita. Islam melarang seorang wanita berkhalwat bersama dengan seorang lelaki. Menurut Abdul Karim Zaidan perbuatan ini adalah haram menurut al-Sunnah dan Ijmak. Kemudian, perkara ini disokong oleh hadis
riwayat Ibn Abas r.a daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

”Janganlah seorang lelaki itu bersunyian dengan seorang wanita kecuali disertai dengan mahramnya’ (al-Bukhari, 5233:4:1987; Muslim, 3336:4:tt).

Menurut al-Asqalani hadis tersebut menerangkan tentang larangan berkhalwat dengan wanita yang bukan mahram dan disepakati oleh para ulamak. Bersunyi-sunyian di antara lelaki dengan perempuan boleh menimbulkan berbagai-bagai perkara buruk seperti zina. Khalwat yang dibenarkan dalam Islam ialah apabila seorang lelaki dan seorang wanita berjumpa di khalayak ramai. Perbualan dan perbuatan mereka berdua didengari serta dilihat oleh orang ramai. Walaupun hadis berkenaan menjelaskan tentang pengharaman bersunyi-sunyian dengan wanita asing, namun tidak pula mengharamkan interaksi wanita dengan kaum lelaki semasa bekerja asalkan mereka beriltizam dengan adab Islam. Antara adab pertemuan antara lelaki dan wanita ialah:

1. Berlaku ketegasan ketika berbincang tanpa gurau-senda yang berlebih-lebihan sehingga mendatangkan fitnah dan kemungkaran.
2. Menahan pandangan. Menahan dan menjaga pandangan di sini bermaksud tidak melihat aurat sesama manusia, memandang dengan pandangan yang bernafsu atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa keperluan.
3. Menghindari berjabat tangan antara lelaki dan wanita.
4. Memisahkan antara lelaki dan wanita dalam situasi tertentu.
5. Tidak bersesak-sesak antara lelaki dan wanita dalam sesebuah tempat.
6. Mengelakkan khalwat atau bersunyi-sunyian antara lelaki dan wanita.
7. Meminta izin suami jika bertemu dengan wanita yang suaminya tiada di rumah.
8. Menghindari pertemuan yang lama dan berulang-ulang antara lelaki dan wanita bagi menutup pintu-pintu fitnah (saddu zara’i).
9. Mengelakkan membuat sebarang pertemuan di tempat yang boleh menimbulkan fitnah, menjauhi perbuatan maksiat dan dosa.
10. Memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat dengan sempurna.
11. Mengawal perbuatan dan pergerakan agar sentiasa tenang dan tidak keterlaluan.
12. Serius ketika bercakap dan berhujah bersama lelaki yang bukan mahram.

Larangan ini sepertimana dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud :

”Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa kamu bercakap dengan lelaki yang asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada
kamu) dan berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”. (al-Ahzab, 33: 32)

Kaum lelaki juga diharamkan memandang kaum wanita tanpa keperluan yang mendesak dan berserta dengan syahwat kerana boleh membawa kepada maksiat. Pandangan yang dibenarkan adalah untuk kemaslahatan tertentu dalam menuntut ilmu, berjual-beli, rawatan dan penyaksian.

Adab perhubungan dalam media sosial

Penjagaan ikhtilat termasuk komunikasi antara lelaki dan wanita menggunakan medium media sosial. Sedar atau tidak bahawa medium komunikasi harian kita di era digital ini sebenarnya lebih banyak menggunakan aplikasi media sosial berbanding komunikasi interpersonal sesama manusia secara bersemuka. Dalam pasca pendemik juga merubah aktiviti pembelajaran, mesyuarat dan perhubungan serta interaksi menggunakan teknologi maklumat dengan pelbagai aplikasi seperti facebook, WhatsApp, We Chat, Google Meet, Webex, E-mil dan sebagainya. Ledakan pelbagai aplikasi media sosial pada zaman teknologi ternyata telah mengubah gaya hidup kita terutamanya cara kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling. Secara tidak langsung kita juga sebenarnya menunjukkan keperibadian diri sendiri dan sikap kepada rakan-rakan tanpa disedari melalui percakapan dan penulisan dalam talian.

Oleh kerana itu, kita hendaklah berhati-hati menggunakan medium media sosial ini. Keprihatinan terhadap penggunaan teknologi maklumat dengan betul mampu memberi kebaikan kepada penggunanya. Oleh itu, antara bentuk penjagaan pergaulan menggunakan media sosial ialah bijak membuat pemilihan rakan atau kenalan di media sosial. Pemilihan rakan yang sama jantina dipilih apabila ingin berinteraksi secara bebas dan terbuka tentang pelbagai isu yang mungkin sensitif. Sekiranya perlu melibatkan rakan yang berlainan jantina maka pemilihan ahli group boleh dibuat berdasarkan kepentingan keperluan kerja, pengajaran dan pembelajaran, aktiviti dakwah dan kemasyarakatan atau kejiranan sahaja. Pengguna Islam hendaklah menjaga adab ketika memberikan komentar di alam maya dengan menggunakan bahasa yang sopan, beradab sopan sekalipun dalam keadaan marah dan tidak menyentuh perasaan dan sensitiviti seseorang. Penggunaan ayat dan bahasa penulisan, isu-isu yang dibincang juga hendaklah dijaga apabila berbincang dalam kumpulan media sosial yang mempunyai percampuran antara lelaki dan wanita di dalamnya.

Selain itu, berhati-hati ketika memuatnaik gambar atau emoji tertentu dan memastikan gambar yang dimasukkan adalah menutup aurat yang sempurna, beradap sopan, tidak keterlaluan serta sesuai untuk dilihat dan dikongsikan. Sepatutnya, media sosial boleh dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, perniagaan atau aktiviti keluarga yang boleh menjadi inspirasi kepada orang lain. Kesimpulannya, perhubungan dan pergaulan antara lelaki dan wanita hakikatnya tidaklah haram. Sebaliknya, ia merupakan perkara yang dituntut sekiranya niat daripada pertemuan itu ialah untuk bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik. Antaranya untuk urusan menuntut ilmu seperti yang telah disebutkan sebelum ini. Tetapi, hal ini tidaklah bermakna semuanya itu memberi ruang kebebasan kepada lelaki dan wanita untuk membelakangi batasan atau melupakan had yang telah ditentukan oleh syarak. Semoga dengan beriltizam dan melaksanakan adab Islam ini dapat membentuk diri, keluarga dan masyarakat yang harmoni berlandaskan syariat.

Dr. Naemah Hamzah
Penolong Pengarah
Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia