ABUJA, Nigeria – Kebimbangan tercetus di Nigeria apabila ratusan pelajar masih dilaporkan hilang sejurus selepas serangan lelaki bersenjata di sekolah di utara negara itu.
Lebih 300 pelajar masih hilang selepas serangan di sekolah menengah sains kerajaan di Kankara, negeri Katsina pada malam Jumaat lalu.
Misi menyelamat dilancarkan oleh polis, tentera udara dan tentera darat pada Sabtu untuk menjejaki pelajar yang disyaki diculik untuk dijadikan tebusan itu.
Setelah sekolah itu diserang, ratusan pelajar memanjat pagar sekolah dan lari mencari tempat perlindungan, menurut jurucakap polis Katsina, Gambo Isah.
Para ibu bapa khuatir anak mereka mungkin diculik ketika mencari tempat perlindungan dan dijadikan tebusan kumpulan bersenjata.
Merka mahu kerajaan mengambil tindakan segera menyelamatkan anak masing-masing.
Pada Sabtu, Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari mendakwa tentera berjaya menjejaki lokasi persembunyian kesemua suspek di kawasan hutan Zango dan Paula.
Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan terhadap serangan itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam kenyataan di New York semalam mengutuk serangan itu dan meminta pelajar yang diculik dibebaskan. -MalaysiaGazette