KUALA LUMPUR – penyanyi Aishah menitiskan air mata kegembiraan selepas lagu Aku Bidadari Syurgamu berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL35) tahun depan.
Aishah menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu tersebut pada separuh akhir Muzik-Muzik 35 hujung bulan lalu.
Menerusi Instagram miliknya, Aishah berkata, dia akan berdepan tugas berat untuk membawakan lagu tersebut selepas persembahannya dikritik, namun dia yakin doa orang teraniaya akan terbela.
“Malam ini gugur lagi air mata. Saya gembira untuk komposer dan penulis lagu ini.
“Airmata ini juga mengenangkan adakah pisang akan berbuah dua kali. Berat, Allah SWT saja yang tahu Tapi saya yakin, doa orang teraniaya tiada hijabnya. Hanya Dia yang tahu segalanya,” tulisnya.
Sementara itu, Aishah berkata, dia sering menangis apabila mendengar lagu Aku Bidadari Syurgamu itu kerana teringatkan perjalanan hidupnya sebagai seorang isteri.
“Banyak makan airmata saya lagu ‘Aku Bidadari Syurgamu’ ni. Bila mula-mula dengar lagu ni, memang banyak kali airmata jatuh, terutama bahagian ‘Seandainya aku yg pergi dulu…’ Saya selalu kata perkara sama pada abang (suami).
“Kenapa saya kata begitu kerana seorang isteri yang pergi dulu dalam keredhaan, doa dan keampunan suaminya, sangat mudah jalannya ke syurga.Sudah tentu itulah yang kita cari sebagai seorang isteri,” katanya. – MalaysiaGazette