Home Nasional Bapa tikam bayi 18 bulan dituduh di mahkamah esok

Bapa tikam bayi 18 bulan dituduh di mahkamah esok

ACP Abd Khalid Othman

SUBANG – Suspek lelaki tempatan berusia 27 tahun yang ditahan polis kerana menikam bayi perempuannya berusia 18 bulan di perut sehingga parah akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok.

Tempoh reman suspek berakhir esok.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya selesai melengkapkan kertas siasatan ke atas suspek dan telah merujuk kepada Timbalan Pendakwaraya.

“Kami mendapat kebenaran untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Petaling Jaya 8.30 pagi esok,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

Suspek direman selama lima hari sejak 13 Disember lalu untuk disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyerang dengan senjata tajam sehingga mendatangkan kecederaan parah.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang 12 Disember lalu, suspek yang merupakan pekerja kedai aksesori kenderaan disyaki kurang siuman telah menikam bayinya di dapur menggunakan pisau pemotong roti.

Mangsa dikejarkan dan diberi rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur dan keadaannya dilaporkan stabil.

Bayi malang itu kini diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kejadian berlaku di kediaman suspek itu di Flat Puchong Permai di sini dan suspek disyaki mengalami tekanan perasaan selepas bercerai dengan bekas isterinya.

Hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine,” kata Abd. Khalid lagi.-MalaysiaGazette