Home Politik Jangan persoal kesetiaan AMK kepada Anwar – Thiban

Jangan persoal kesetiaan AMK kepada Anwar – Thiban

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Thiban Subbramaniam.

KUALA LUMPUR – Beberapa hari lepas, kecoh mengenai perbualan aplikasi Whatsapp membabitkan pemimpin PKR termasuk daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang didakwa menyelar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah ada juga pemimpin PKR yang mahu tindakan segera di ambil terutamanya terhadap Ketua AMK, Akmal Nasir, timbalannya, Thiban Subbramaniam dan Setiausaha AMK, Syukri Razab.

Bagaimanapun Thiban mengakui timbul banyak spekulasi serta dakwaan kurang enak berhubung kesetiaan mereka terhadap kepimpinan Anwar.

“Saya cakap terus terang di sini, kesetiaan serta kepercayaan kami terhadap presiden kami tidak ada tolok bandingnya. Tindakan menyebarkan tangkap layar kemudian persoal kesetiaan kami sebelum tindakan susulan adalah gimik pihak tertentu.

“Tapi kami tetap utuh dan sukar untuk dipecah belahkan begitu sahaja.

“Mesej saya kepada segelintir pihak ini, kami hanya ada satu nakhoda kapal iaitu Anwar Ibrahim juga bakal Perdana Menteri kita kelak. Sebelum ini, ada ‘lanun’ yang datang menumpang dalam kapal kita.

“Rakyat sendiri sudah kenal sangat dengan lanun-lanun ini, begitu juga dengan anak-anak kapal yang begitu bekerja keras untuk teruskan pelayaran bersama kapten yang kekal berprinsip,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Barisan Exco AMK gesa Akmal Nasir letak jawatan

Baru-baru ini menerusi satu perbualan Whatapss yang menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Anwar sesama pimpinan AMK kerana mendakwa sudah beberapa kali dikecewakan oleh Presiden PKR itu.

Perasaan itu timbul selepas kegagalan Ahli Parlimen Port Dickson itu membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti sekali gus menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi tangkap layar yang tular, dua pemimpin utama AMK mengkritik Anwar dan mengatakan akar umbi parti dipermainkan dan berterusan bergaduh sesama sendiri.

Dalam pada itu, kata Thiban lagi, dirinya akan tetap membela ketuanya, Akmal Nasir yang padanya seorang pemimpin muda yang berprinsip.

“Bukan sahaja berprinsip sebaliknya amat lantang bersuara. Mungkin itu juga ada pihak hendak melihatnya jatuh.

“Kesetiaan kami kepada Presiden PKR tetap tidak akan luntur  walaupun pelbagai percubaan pihak luar sana, pesanan saya cubalah lagi.

“AMK akan terus bersama ikrar janji setia berdiri teguh bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dan selamanya,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu perbualan Akmal Nasir patut diselesaikan secara harmoni dalam parti

Akmal jumpa Anwar jelas kekhilafan