KUALA LUMPUAR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) supaya sebarang peraturan pendaftaran yang dikeluarkan tidak akan membebankan para petani dari segi kos.
Selain itu, prosedur dan proses permohonan serta tempoh kelulusan juga lebih munasabah.
Dalam kenyataan di sini, kementerian berkata, ia mengambil maklum bahawa pihak CAAM sedang merangka satu arahan khusus bagi sektor pertanian dengan kerjasama MAFI.
Katanya, MAFI akan bekerjasama dengan CAAM dalam meningkatkan kesedaran dan kepatuhan operator dron sektor pertanian mengenai kepentingan pendaftaran dan tahap keselamatan penggunaan dron di negara ini.
Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perlunya mendapatkan kebenaran untuk penggunaan dron.
Katanya, jabatan dan agensi di bawah MAFI serta golongan petani telah menggunakan dron secara meluas dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian.
”Penggunaan dron dalam sektor pertanian adalah bagi tujuan semburan racun dan baja, pemantauan kawasan yang dijangkiti penyakit serta pemetaan kawasan.
”Walaupun MAFI menggalakkan penggunaan dron, aspek keselamatan dan pematuhan peraturan berkaitan penggunaan dron sentiasa diberi perhatian
serius,” katanya.
MAFI telah melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama CAAM) berhubung penggunaan dron dalam sektor pertanian, ujarnya. – MalaysiaGazette