KUALA LUMPUR – Berita mengenai sebuah stadium mini di Kuala Nerang, Kedah yang didakwa menggunakan nama salah seorang pegawai yang merasmikannya sebagai nama stadium kini mencuri perhatian dunia.
Sebuah akhbar dalam talian di United Kingdom iaitu The Independent telah menyiarkan artikel yang bertajuk Malaysian official who renamed stadium denies title is his name backwards, insists it is ‘Spanish or Greek diterbitkan sejak semalam.
Bagaimanapun artikel itu hanya melaporkan kembali penafian pegawai berkenaan mengenai isu dan juga penjelasan maksud sebenar di sebalik nama stadium itu.
Baru-baru ini isu mengenai sebuah stadium mini di Kuala Nerang, Kedah didakwa menggunakan nama salah pegawai daerah yang merasmikannya sebagai nama stadium.
Beliau yang dikenali sebagai Hakim Ariff Md Noor, bagaimanapun menafikan dakwaan nama stadium itu Ffira Mikah adalah namanya yang diterbalikkan.
Beliau yang juga merupakan Pegawai Daerah Padang Terap itu menjelaskan nama itu mempunyai maksud yang tersirat dan nama stadium berkenaan telah pun ditukar kembali kepada Stadium Mini Kuala Nerang.
Sementara itu, The Independent adalah sebuah akhbar dalam talian dari United Kingdom dengan hampir 10 juta pengikut di Facebook dan 3.4 juta pengikut di Twitter. – MalaysiaGazette