Home Sukan Penganjuran Petronas Cubprix dapat lampu hijau

Penganjuran Petronas Cubprix dapat lampu hijau

KUALA LUMPUR – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) diberi kebenaran untuk meneruskan penganjuran sukan permotoran 2-roda tempatan, Petronas Cubprix secara tertutup bermula 18 hingga 24 Disember ini.

Kebenaran itu diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

SIC dalam kenyataannya berkata, aktiviti sukan permotoran yang dibenarkan di SIC adalah seperti mana yang tertakluk kepada kesesuaian semasa yang telah dinasihatkan pihak berwajib.

“Dengan kelulusan yang telah diberi dapat memberi nafas lega kepada industri sukan permotoran terutamanya penganjur dan atlet perlumbaan Petronas Cubprix, sekali gus memberi sinar untuk acara sukan permotoran lain dalam masa terdekat setelah terkesan ekoran impak pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2020 ini,” katanya.

Demi memastikan acara berjalan dengan lancar, SIC dan penganjur telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh setiap peserta dan berharap semua yang terlibat dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

”Ini merupakan satu berita yang baik untuk industri sukan permotoran dan diharap perkara tersebut dapat dilanjutkan di masa akan datang,” kata ‘Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif. – MalaysiaGazette