Home Ekonomi Pertimbang guna dana Petronas hadapi Covid-19 – Wong Chen

Pertimbang guna dana Petronas hadapi Covid-19 – Wong Chen

Wong Chen

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyarankan kerajaan untuk mengawal bayaran dividen oleh Petronas terutama ketika negara sedang berdepan situasi kecemasan.

Jelasnya, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan dana daripada syarikat petroliam itu ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Kita patut kawal dana Petronas, pada kebiasaannya kita minta Petronas membayar dividen antara RM20 bilion hingga RM30 bilion, itu paling maksimum.

“Semasa waktu kecemasan ketika Covid-19 ini, saya rasa jika ada keperluan, kita perlu guna dana Petronas,” katanya semasa sesi perbahasan pindaan Rang Undang-Undang Kewangan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Wong Chen berkata demikian ketika menjawab pencelahan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN – Arau) yang meminta pandangannya mengenai kewajaran kerajaan untuk mengambil dividen Petronas melebihi had yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen PKR itu turut mencadangkan supaya Menteri Kewangan Tengku, Datuk Seri Zafrul Aziz untuk mereformasi laporan hasil Petronas.

Katanya, laporan tersebut sepatutnya dibentangkan kepada komuniti Parlimen dan tidak sewajarnya hanya diberikan kepada Perdana Menteri sahaja.

Tegas Wong Chen, hasil Petronas adalah milik rakyat dan perlu dipantau oleh rakyat melalui Parlimen.

“Bagaimanapun, isu yang saya timbulkan adalah berkaitan dengan laporan hasil Petronas. Ini tidak boleh bagi kepada Perdana Menteri seorang, kita boleh buat komuniti khas.

“Dalam Komuniti Parlimen kita boleh dengar dan bersumpah untuk tidak bocorkan maklumat tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette

+ posts