
KOTA KINABALU – Seorang anggota polis wanita berpangkat Sarjan hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang suspek kes mencuri, Februari lalu.
Tertuduh, Nora Alun, 42, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersetuju menerima wang tersebut daripada Mohd Saiful Jamil untuk tidak meneruskan siasatan terhadap lelaki itu yang sedang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tuduhan itu didakwa Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.
Mahkamah menetapkan 19 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
— BERNAMA