Home Utama Bapa tikam perut bayi kandung menangis teresak-esak dipenjara 10 tahun

Bapa tikam perut bayi kandung menangis teresak-esak dipenjara 10 tahun

Tertuduh, Muhammad Safwan Shafie dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Seksyen selepas mengaku bersalah atas tuduhan menikam anak kandungnya dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 17 DISEMBER 2020.

PETALING JAYA – Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba membunuh dengan menikam perut bayi perempuannya berusia 18 bulan dalam kejadian Sabtu lalu.

Tertuduh, Muhammad Safwan Shafie, 27, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Beliau menetapkan hukuman penjara bagi pertuduhan itu dilaksanakan bermula dari tarikh tangkap iaitu 12 Disember lalu.

Semasa prosiding, Muhammad Safwan yang memakai baju lokap berwarna ungu dilihat menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh ketika ditunjukkan gambar-gambar kes termasuk gambar mangsa.

“Minta hukuman seringan-ringannya kerana saya sudah insaf,” rayu tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Shanur Farahin Shapri memohon hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia merupakan satu kesalahan serius.

“Sebagai seorang bapa, OKT seharusnya menjadi seorang pelindung namun telah bertindak mencederakan mangsa yang merupakan anak sendiri sehingga boleh menyebabkan kematian,” ujarnya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Safwan didapati cuba membunuh seorang bayi perempuan berusia 18 bulan dengan menikam perut mangsa di sebuah rumah di Flat Puchong Permai, Puchong pada 12 Disember 2020 kira-kira pukul 4.30 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian polis telah menerima maklumat seorang lelaki sedang mengamuk dengan memegang sebilah pisau dan mengunci pintu rumah bersama-sama bayi perempuannya.

Setibanya anggota di tempat kejadian, tertuduh enggan memberi kerjasama membuka pintu dan dua anggota polis terpaksa memotong mangga pintu jeriji rumah.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang bayi perempuan terbaring berada di atas lantai di bahagian dapur dengan keadaan luka dibahagian perut dan berlumuran darah namun masih berada dalam keadaan sedar dan tidak menangis.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang dan pegawai perubatan mengesahkan bahawa hasil pemeriksaan terperinci terhadap kecederaan mangsa mendapati terdapat luka sepanjang lima sentimeter di sebelah kanan pusat.

Suspek yang merupakan pekerja kedai aksesori kenderaan disyaki kurang siuman telah menikam bayinya di dapur menggunakan pisau pemotong roti.

Bayi malang itu kini diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Suspek disyaki mengalami tekanan perasaan selepas bercerai dengan bekas isterinya. – Malaysia Gazette

1 Komen

Comments are closed.