Home Politik Dekat Malaysia P. Pinang sajakah yang penting? – Chin Kok

Dekat Malaysia P. Pinang sajakah yang penting? – Chin Kok

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng (kiri) berbincangkan sesuatu dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew.

KUALA LUMPUR – Kenapa kebanyakan pemimpin DAP hanya memperjuangkan isu berkaitan dengan Pulau Pinang termasuk isu penamatan perkhidmatan feri.

Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Lau Chin Kok mempersoalkan sikap pemimpin parti itu yang berjuang untuk Pulau Pinang seakan-akan negeri lain tidak penting kepada mereka.

“Kenapa kebanyakan pemimpin DAP hanya fikir tentang Pulau Pinang? Kenapa semua peruntukan kerajaan DAP selalu fight untuk Pulau Pinang?

“Negeri lain tak penting ke pada pemimpin DAP?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin Kok merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang menyelar kerajaan apabila memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Guan Eng juga kecewa apabila RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 untuk membina kereta kabel di Bukit Bendera dimansuhkan dan jaminan pinjaman bank untuk membina LRT bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dan Seberang Perai juga dibatalkan.

“Nampaknya jelas sekali, masa mereka berkuasa banyak juga peruntukan diberi kepada Pulau Pinang.

“Mari kita fokus kepada isu perkhidmatan feri. Guan Eng berkata, bagi menyelamatkan perkhidmatan feri, kerajaan Pulau Pinang telah menawarkan untuk mengambil alih keseluruhan perkhidmatan pengangkutan air dan feri Pulau Pinang pada tahun 2015 dengan menanggung semua perbelanjaan.

“Namun, Kementerian Pengangkutan pada tahun 2016 menolak untuk memberikan kuasa penuh kepada kerajaan Pulau Pinang dan berkeras untuk melaksanakan pengawal seliaan terhadap pengangkutan air serta perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

“Sebenarnya betulkan kerajaan Pulau Pinang ini nak ambil alih perkhidmatan feri? Yang peliknya semasa DAP-PH menguasai kerajaan pusat kenapa Pulau Pinang tak ambil alih perkhidmatan feri ? Masa itu, Menteri Pengangkutan orang DAP. Menteri Kewayangan (Kewangan) juga orang DAP,” kata Chin Kok.

Justeru beliau menasihati pemimpin DAP jangan buat-buat lupa yang menteri mereka sendiri yang buat keputusan mahu ganti perkhidmatan feri dengan bot laju pada tahun 2019.

“Kerajaan PN hanya meneruskan keputusan untuk ganti feri dengan bot laju. Perkhidmatan pengangkutan laut Pulau Pinang tidak ditamatkan.

“Sebenarnya kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri yang tak berhasrat untuk ambil alih perkhidmatan feri. Jadi tak payahlah Guan Eng nak wayang mendesak kerajaan pusat kononnya tak prihatin dan mengabaikan Pulau Pinang.

“Dekat Malaysia Pulau Pinang sajakah yang penting?” soalnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tamat perkhidmatan feri, kasihanlah Pulau Pinang – Guan Eng