KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memberi jaminan kerajaan akan memastikan institusi kewangan mempermudahkan proses permohonan moratorium bersasar terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemantauan itu akan dibuat bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan permohonan berjalan lancar.
“Seperti diumumkan, golongan B40 akan menerima moratorium ini secara automatik asalkan mereka membuat permohonan manakala M40 perlu mengemukakan pengisytiharan kendiri untuk dapatkan kelulusan tak perlu dokumen.
“Tetapi, saya prihatin perkara dibangkitkan, mungkin ada masalah pentadbiran dan kita perlu memantau.
“Jadi, saya dengan BNM akan cuba sedaya upaya untuk memastikan pihak bank untuk membuat moratorium ini tidak menjadi sukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan (PH), Lim Guan Eng yang meminta Menteri Kewangan memberikan penjelasan sejauh mana kementerian melakukan pemantauan terhadap pemberian moratorium secara bersasar oleh bank dan institusi kewangan ketika ini.
Dalam pada itu, ketika menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen (Pas-Pasir Mas), Ahmad Fadhli Shaari, Tengku Zafrul berkata, pihaknya dan BNM turut memantau aduan mengenai permohonan lanjutan moratorium yang ditolak oleh pihak bank.
“Ada, memang ada kes tetapi tidak banyak aduan diterima buat masa ini. Bagi pihak yang ingin membuat aduan, Bank Negara ada menyediakan talian khas untuk mereka salurkan aduan. Tetapi saya di pihak kementerian akan turut memantau perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette