KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri yang tidak sempat menghabiskan peruntukan Cukai Pelancongan berikutan kesan pandemik Covid-19 akan mendapat pengecualian atau lanjutan.
Itu jaminan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah yang berkata, kerajaan negeri pada dasarnya wajib menggunakan 70 peratus daripada keseluruhan peruntukan cukai berkenaan.
Beliau berkata, penyaluran dana yang dikutip kerajaan Persekutuan sejak tahun 2017 itu boleh digunakan untuk tiga tujuan iaitu penyelenggaraan tempat tumpuan pelancongan, promosi dan pengumpulan data serta maklumat.
“Kementerian buat keputusan, sekiranya kerajaan negeri tidak dapat membelanjakan 70 peratus daripada jumlah wang yang disalurkan, mereka boleh hantar surat untuk merayu.
“Ini supaya mereka diberikan pengecualian atau lanjutan supaya prestasi 70 peratus itu tidak diambil kira apabila kita salurkan wang pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Shahar yang memperincikan prestasi kutipan Cukai Pelancongan itu berkata, sejumlah RM283.2 juta diperoleh Kerajaan Persekutuan sejak dasar tersebut dilaksanakan berkuat kuasa 1 September 2017.
Katanya, demi merancakkan industri pasca Covid-19, pembentangan Belanjawan 2021 bersetuju memberikan pengecualian kutipan cukai dalam kalangan pelancong asing sehingga separuh pertama tahun depan.
Tambah beliau, pada tahun ia dilaksanakan kerajaan merekodkan kutipan sebanyak RM39.9 juta manakala 2018 dan 2019, masing-masing berjumlah RM216.6 juta serta RM26.7 juta.
“Daripada keseluruhan kutipan, sebanyak 50 peratus akan diberikan kepada kerajaan negeri yang dikreditkan dalam akaun amanah untuk dibelanjakan bagi tiga tujuan seperti dinyatakan tadi,” jelasnya. – MalaysiaGazette