KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil langkah berhati-hati serta membuat kajian terperinci sekiranya mahu mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, GST diakui lebih telus dan komprehensif dalam membendung mana-mana pihak atau syarikat yang sebelum ini sering lari daripada dikenakan cukai.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan sistem yang dimansuhkan pada 2018 itu mempunyai kelemahan disebabkan beberapa kepincangan terhadap aspek pelaksanaan sistem cukai pelbagai peringkat berkenaan.
“Ini akhirnya menyebabkan kegagalan GST apabila tidak dapat memenuhi kehendak rakyat, sehingga rakyat tolak GST.
“Jadi, kerajaan kena berhati-hati sama ada nak kembalikan pelaksanaan GST atau kekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada bagi menambah hasil kerajaan.
“Dalam masa sama, kita harus pastikan sebarang bentuk percukaian baharu tidak akan bebankan rakyat,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020, di Dewan Rakyat, hari ini.
Cadangan menambah baik sistem percukaian dengan mengembalikan GST bagi melonjak pendapatan kerajaan, ketika perbahasan RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2020 peringkat dasar turut mendapat sokongan Ahli Parlimen dari blok pembangkang.
Ahli Parlimen Subang (PH), Wong Chen yang senada dengan cadangan itu, namun, mengesyorkan kerajaan menetapkan kadar cukai yang rendah sekiranya GST ingin dikembalikan.
“Ia perlu pada tahap tiga peratus dan pastikan ia terikat bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun supaya penjual serta pengguna dapat membiasakan diri sepanjang tempoh berkenaan, pada tahap cukai rendah.
“Dalam keadaan wabak Covid-19, jelas kerajaan perlukan cukai kepenggunaan yang lebih stabil daripada SST supaya hasil kerajaan stabil dan terpelihara.
“Sekiranya GST dikembalikan, kerajaan harus pastikan dasar cukai pendapatan juga berubah menjadi lebih progresif, bantuan penyaluran wang tunai ditingkatkan dan gaji minimum dinaikkan sebagai gaji kehidupan wajar.
“Ini bagi memastikan golongan miskin tidak ditindas. Saya bersedia beri pandangan lanjut, justeru menteri harus kemukakan pandangan ikhlas, jangan ‘pusing-pusing’,” ujarnya. – MalaysiaGazette