Home Nasional Penganggur dan Mekanik didakwa bunuh pekerja pasang khemah

Penganggur dan Mekanik didakwa bunuh pekerja pasang khemah

Penganggur, Thiagarajan Peranandam, 42 (kanan) dan rakan kenalannya mekanik, Elias Zainal Abidin, 44, (kiri) dibawa oleh pegawai polis untuk dituduh di mahkamah majistret pagi ini atas kesalahan dengan niat bersama membunuh pemasang khemah berusia 21 tahun di PPR Intan Baiduri Kepong dalam kejadian pada 25 November lalu di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 17 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dan rakannya, seorangĀ  mekanik ditiduh membunuh seorang pekerja memasang kemah di Mahkamah Majistret di Kepong hari ini.

Kedua-dua suspek mengangguk sebagai memahami pertuduhan tetapi tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh, Thiagarajan Peranandam, 42, dan Elias Zainal Abidin, 44, dengan niat bersama membunuh dan menyebabkan kematian ke atas Tushilen Murugan yang berusia 21 tahun.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada antara jam 10 pagi hingga 1 tengahari 25 November lalu di hadapan Blok E, Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Jalan Taman Intan Baiduri, Kepong.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Chai Sia tidak membenarkan jamin untuk tertuduh dan menetapkan 18 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes serta penyerahan dokumen laporan bedah siasat.

Kedua-dua tertuduh dibawa ke mahkamah pukul 10.30 pagi dengan tangan bergari dan dikawal ketat oleh enam pegawai polis IPD Sentul dan diiringi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Baldev Singh Gurdial Singh.

Isteri Elias yang berada di mahkamah kelihatan sebak dan merenung ke arah suaminya dan cuba memujuk pegawai polis untuk menyampaikan surat kepada tertuduh sambil mengekori mereka meninggalkan galeri awam mahkamah manakala keluarga Thiagarajantidak kelihatan di mahkamah.

Pada kejadian 25 November lalu, Tushilan yang datang dari Selayang bersama rakannya untuk memasang khemah di kawasan PPR Intan Baiduri Kepong ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala.

Semasa kejadian mangsa telah pergi ke Blok E PPR untuk membeli makanan sebelum didekati dua suspek menaiki motosikal sementara rakan Tushilan berurusan dengan penghuni di tingkat atas Blok B.

Salah seorang suspek dipercayai turun dari motosikal lalu menetak mangsa di tepi jalan. – MalaysiaGazette

Kes mati ditetak, punca tak puas hati dalam pengedaran dadah

Pekerja pasang khemah mati ditetak