KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menarik diri daripada menyertai Ekspo Dubai yang dijadualkan berlangsung Oktober 2021 hingga Mac 2022.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, expo tersebut bakal disertai Israel.
“Tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjemput Israel secara tidak langsung mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sedangkan tanah pendudukan Israel itu adalah bumi Palestin yang sah dan merdeka tetapi dirampas oleh Israel.
“Namun jika salah kerajaan dahulu sekali pun sekiranya UEA telah mengiktiraf Israel lebih awal, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa kerajaan Islam Melayu ini wajib membatalkan penyertaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, dengan cara ini kerajaan boleh menunjukkan ketegasan terhadap Israel yang telah bertindak kejam ke atas umat Islam di Palestin.
“Bukankah saudara se Islam kita di Palestin telah dibunuh dengan kejam tidak kira kanak-kanak mahupun orang tua, rumah mereka dirobohkan dan tanah mereka dirampas? Tiada rasa simpati langsungkah terhadap mereka?
“Malaysia perlu tunjukan ketegasan yang konsisten tidak menerima Israel,” tambahnya.
Dalam pada itu, Syed Hassan turut menyelar tindakan UAE yang menjemput Israel.
“Sebagai negara Islam, UEA tidak wajar bertindak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel yang kejam terhadap umat Islam bukan sahaja di Palestin tetapi terhadap negara-negara Islam sekelilingnya,” katanya lagi.
Ekspo Dubai dikatakan bakal disertai 192 negara dan menyasarkan kunjungan 135,000 pelawat sehari pada hari biasa serta 250,000 sehari ketika acara khas.
Israel akan menyertai ekspo tersebut adalah atas jemputan UAE yang kini menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara tersebut. – MalaysiaGazette