KUALA LUMPUR – Rata-rata pengguna kini mengeluh mengenai kenaikan harga barangan keperluan harian yang dikesan berlaku kenaikan sejak kebelakangan ini.
Beban semakin terasa lebih-lebih pula kantung semakin kosong sejak pelbagai sekatan melibatkan penularan Covid-19.
Tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Setiawangsa di sini mendapati orang ramai terutama peniaga mengakui terbeban dengan perbezaan harga barang yang sebilangannya didakwa meningkat hampir dua kali ganda.
Seorang peniaga makanan dari Ampang, Lela Jamil, 43, tidak puas hati apabila harga barangan basah yang sering digunakan olehnya seperti cili merah, cili api dan bawang kini dianggapnya terlalu mahal.
“Barang basah macam cili merah dan cili api naik mendadak, harga memang teruk. Saya meniaga guna cili merah paling banyak dan bawang pun mahal. Anggaran harga naik hampir dua kali ganda.
“Jika dahulu hanya sekitar RM12 hingga RM15 sahaja tapi sekarang lebih RM20, mungkin musim hujan agaknya.
“Kalau boleh minta kerajaan kurangkan harga barang-barang, saya berniaga nasi berlauk dengan kebanyakan pelanggan yang makan gaji bulan. Bila letak harga tinggi mereka tanya kenapa harga makanan mahal sangat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pemilik kedai makan, Suhaimi Ali, 47, pula merayu supaya kerajaan mengawal harga barangan kering dan basah yang dijual di semua pasar dan pasar raya di sekitar ibu kota.
Jelas Suhaimi, barangan yang begitu ketara perbezaan harga berbanding beberapa minggu lalu antaranya telur gred D, bawang besar dan bawang Holland.
“Telur gred D di Pasar Chow Kit sekitar RM7, kalau di sini pula RM8.70. Barang basah macam ayam pada minggu lepas saya beli tujuh ekor kira-kira RM85 tapi minggu ini turun sedikit. Kadang kala boleh dapat RM6.99, kalau ambil lebih dapat RM5.99 bagi satu kilogram ayam.
“Bawang pula memang mahal, sebungkus saya beli RM11.50 manakala bawang Holland di pasar mencecah RM40 bagi satu guni.
“Kerajaan atau pihak berwajib kami minta kurangkan lah harga lebih-lebih lagi ketika musim pandemik Covid-19 ini yang tidak tahu bilakah akan berakhir. Pendapatan sebagai peniaga pun sudah berkurangan kerana pelanggan sekarang memang kurang,” ujarnya.
Manakala seorang pengguna, Nizam Mohd. Daud, 40, pula berkata, peningkatan harga barang yang tidak terkawal sememangnya memberi tekanan kepada rakyat terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Sepatutnya buat pemantauan terutamanya sekarang kerana ramai yang menganggur dan kehilangan kerja jadi bila harga barang meningkat begini sudah tentu jadi tekanan kepada rakyat.
“Saya harap sangat kerajaan ambil inisiatif turun padang dan pantau (harga barang),” katanya.
Seorang lagi pengguna, Junaini Abdullah, 58, senada dan meluahkan kerisauannya tentang kenaikan harga barangan keperluan harian sejak akhir-akhir ini.
Kata Junaini, bahan utama yang sering digunakan olehnya dalam masakan seperti bawang besar dan cili merah dijual dengan harga yang sangat tinggi.
“Memang rasa terbeban lebih-lebih lagi kepada golongan yang tidak bekerja kerana saya seorang ibu tunggal dan hanya harapkan anak-anak sahaja,” ujarnya.
Bagi Roha Mohd. Zin, 51, wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini memberikan kesan mendalam terhadap semua golongan masyarakat terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Katanya, setiap perbelanjaan barang dapur perlu dihitung dengan baik supaya tidak berlaku pembaziran yang tidak diingini.
“Sebelum ini boleh berbelanja macam biasa tapi bila negara dilanda Covid-19 pendapatan pun terjejas, jadi perlu berjimat cermat,” katanya. – Malaysia Gazette