Home Nasional Tiada pengecualian duti setem bagi pindah milik hartanah kepada anak

Tiada pengecualian duti setem bagi pindah milik hartanah kepada anak

Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk memberikan pengecualian duti setem bagi pindah milik hartanah daripada ibu bapa kepada anak ketika ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan ketetapan sedia ada, pengecualian duti setem seratus peratus hanya diberi atas pindah milik antara suami dan isteri sahaja.

“Kerajaan telah mengumumkan peremitan duti setem sebanyak 50 peratus diberikan ke atas surat cara pindah milik bagi urusan pindah milik harta tanah atas dasar kasih sayang antara ibu bapa kepada anak atau sebaliknya.

“Hasrat peremitan duti ini diberikan bagi menggalakkan urusan pindah milik harta antara ibu bapa dan anak dilakukan semasa hidup, dan mengelakkan berlakunya permasalahan tuntutan harta setelah berlaku kematian antara salah satu pihak yang berkenaan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (BN-Parit), Datuk Mohd Nizar Zakaria mengenai pengecualian duti setem pindah milik hartanah daripada ibu bapa kepada anak, serta kaedah lain bagi mengelakkan permasalahan bagi pindah milik hartanah.

Tengku Zafrul menambah, peremitan duti setem itu juga bertujuan untuk mengurangkan kes tuntutan harta pusaka di mahkamah pada masa akan datang.

Jelas beliau, peremitan duti setem itu terpakai bagi surat cara pindah milik harta tak alih disempurnakan pada atau selepas 1 Januari tahun ini dan terhad bagi penerima harta tanah yang bertaraf warganegara sahaja. – MalaysiaGazette