Home Sukan Zaquan kembali ke Negeri Sembilan

Zaquan kembali ke Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak kembali memperkuatkan jentera serangan pasukan Negeri Sembilan bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Bekas pemain Kedah itu turut dilantik sebagai ketua pasukan pada musim 2021.

Zaquan memulakan karier bola sepak profesional bersama Negeri Sembilan yang mana beliau bermula bersama skuad Sukma negeri tersebut.

Kembar kepada Aidil Zafuan itu memenangi pingat emas Sukma 2004 dan seterusnya membantu skuad Hobin Jang Hobin memenangi trofi Liga Super pada musim 2005/2006.

Zaquan terus memainkan peranan besar pada zaman kegemilangan Negeri Sembilan yang mana selain memenangi Liga Super, beliau membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia pada 2009 dan 2011 serta Piala FA pada 2010.

Kecemerlangan Zaquan bersama Negeri Sembilan turut membantu beliau memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik bagi musim 2006/2007 selain memenangi saingan Pesta Bola Merdeka pada 2007 dan pingat emas Sukan SEA 2009.

Bagi menghadapi saingan musim 2021, Negeri Sembilan bakal dikendalikan oleh K. Devan yang telah mengendalikan pasukan sebanyak dua kali sebelum ini. – MalaysiaGazette