Home Nasional 19 barangan kawalan harga sepanjang Krismas

19 barangan kawalan harga sepanjang Krismas

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 jenis kategori barang kawalan ditetapkan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kategori barangan di bawah skim yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.

“KPDNHEP akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Krismas yang akan disambut pada 25 Disember 2020 di seluruh negara.

“Selain itu, pelaksanaan SHMMP Krismas 2020 secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 menerusi Facebook Live KPDNHEP hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan SHMMP Krismas 2020 akan berkuatkuasa selama 10 hari bermula 22 Disember ini.

Beliau menjangkakan permintaan barangan keperluan makanan akan meningkat pada musim perayaan Krismas meskipun ia akan disambut dengan sederhana seiring usaha kerajaan mengekang penularang Covid-19.

Walaupun perayaan Krismas 2020 disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan itu tetap ada dan dijangka meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan.

Alexander dalam pada itu memaklumkan harga maksimum pengeluar, borong dan rucit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan trend harga semasa dan ketika menjelang hari perayaan.

Selain itu tambahnya, terdapat juga harga yang ditentukan lebih rendah dan kekal seperti mana pelaksanaan SHMMP Deepavali 2020.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberi amaran kepada peniaga yang menaikkan harga barangan boleh dikenakan tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 .

Selain itu ujarnya, notis di bawah Seksyen 21 akta itu turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.

“Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” tambah Alexander.-MalaysiaGazette