KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan menyamai catatan rekod juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali menerusi kerja keras dan kecemerlangannya, Lewis Hamilton kini menjangkakan akan menghadapi cabaran lebih sukar dalam usaha memecahkan rekod tersebut, iaitu menjadi juara dunia buat kali kelapan.
Pemandu Mercedes AMG Petronas itu yang bersyukur atas kejayaan yang telah dicapainya dalam karier permotoran penuh mencabar berkata, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tetapi bersedia untuk bekerja lebih keras lagi dalam mencapai cita-citanya itu.
Warga Britain berusia 35 tahun itu juga menjangkakan dominasi tujuh tahun pasukannya dalam sukan itu akan dicabar hebat terutamanya Red Bull Racing dan pasukan McLaren, dengan pasukan McLaren akan bertukar daripada menggunakan enjin Renault kepada Mercedes musim hadapan.
Ini terutamanya selepas melihat pasukan Red Bull menguasai perlumbaan dari petak permulaan hingga ke garisan penamat oleh Max Verstappen pada perlumbaan terakhir di Abu Dhabi, di mana pemandu Mercedes Valtteri Bottas dan Hamilton, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
“Ia akan membuatkan tugas yang banyak untuk rakan-rakan saya, menghadapi cabaran tahun hadapan untuk kami bina sebuah jentera, pada ketika ini kami perlu bekerja secara terbuka, minda terbuka dan berusaha membaiki dinamik, dalam cara yang berbeza… Bukan mudah untuk dipertingkatkan lagi setiap tahun.
“Jadi sebenarnya saya tidak tahu bagaimana hendak mencapainya, tetapi tahu ia memerlukan kerja yang banyak, saya perlu bekerja lebih keras daripada sebelum ini, dan belajar lebih lagi untuk terus berada di tempat teratas dengan kereta ini lebih lagi dari tahun ini. Saya juga perlu mengerakkan rakan-rakan saya untuk lebih cekap dan pastikan mereka dahagakan kemenangan dan paksa mereka sehingga mereka berada pada tahap terbaik, tetapi tidak berputus asa.
“Saya secara serius fikir tahun hadapan Red Bull akan menjadi pencabar dan McLaren juga… Saya rasa ia suatu yang menarik, tetapi bukanlah kami tidak takut atau apa-apa, tetapi kami sukakan kepada cabaran itu,” katanya dalam sesi sidang maya bersama media terpilih, baru-baru ini.
Musim 2020 yang terganggu dengan pandemik COVID-19, melihat Hamilton menyamakan rekod juara dunia tujuh kali Michael Schumacher dengan 347 mata, 100 mata meninggalkan rakan sepasukan di tempat kedua dengan 223 mata.
Hamilton turut mencatatkan namanya sebagai pelumba F1 yang menang paling banyak, memenangi 95 perlumbaan, 98 kedudukan petak pertama dan 165 podium, lebih daripada pelumba lain dan dilabelkan peminat sebagai terbaik dalam sukan sepanjang masa, walaupun terpaksa tidak menyertai Grand Prix Sakhir di Bahrin, selepas diuji positif COVID-19.
Musim 2020 ini juga memperlihatkan pasukan kerjasama Mercedes-Petronas meneruskan dominasinya untuk memenangi gelaran juara kategori pengeluar F1 dengan 573 mata, memenangi 13 daripada 17 perlumbaan musim ini, di mana Hamilton sendiri memenangi 11, manakala Bottas menang dua perlumbaan.
Bercakap mengenai dominasi pasukan ‘Silver Arrow’ itu sejak 2014, Hamilton berkata Petronas telah memainkan peranan penting dalam memastikan kenderaan mereka paling konsisten, tahan lasak, berkuasa tinggi dan efisien, walaupun pada keadaan dan suhu paling extrem.
“Kami perlu bergantung kepada Petronas untuk memberikan kami minyak paling efisien dan pelincir dengan rintangan paling rendah dan penyejukan yang mengekalkan suhu komponen-komponen. Sebagai contoh, engin adalah jantung kereta, jadi kami selalu bercakap mengenai cecair yang menjadi darah kepada enjin kami.
“Petugas Petronas memberikan sokongan di Turin dan Makmal ‘Trakside’ di setiap grand prix, bekerja keras setiap masa bekerjasama dengan mereka di HPP (Mercedes AMG High Performance Powertrains) untuk bantu kami mencapai apa yang kami capai. Saya tidak rasa orang tahu, apabila kami bercakap mengenai dominasi, ini sebahagian utama mengenainya. Yang lain tidak lakukan apa yang kami buat bersama Petronas, ia semudah itu,” katanya berkaitan syarikat minyak negara.- BERNAMA