KUALA LUMPUR – Pelanggan lebuh raya yang bercadang untuk bercuti bagi meraikan perayaan Krismas dan Tahun Baharu atau pulang ke kampung dinasihatkan supaya dapat merancang perjalanan lebih awal di lebuh raya.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pelanggan yang melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan di antara 22 Disember 2020 hingga 19 Januari 2021.
Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
Manakala, pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 12 tengah hari.
Sementara itu, orang ramai daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
”Kami amat menggalakkan orang ramai mengikuti jadual perjalanan yang disarankan untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, sekaligus mengurangkan kesesakan,” katanya.
PLUS juga menjangkakan peningkatan trafik sehingga 30 peratus atau kira-kira 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa akan menggunakan lebuh raya kendalian PLUS sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang. – MalaysiaGazette